Dodol bukan sekadar juadah tradisional, malah menjadi simbol warisan yang terus hidup di Perlis melalui Rumah Dodol Warisan Cik Wan.
Dengan resipi turun-temurun sejak hampir 60 tahun lalu, dodol keluaran Mohamad Azwan bin Yahaya, atau lebih mesra dikenali sebagai Cik Wan, kekal menjadi pilihan pelanggan istimewa termasuk kerabat diraja dan golongan VVIP.
Advertisement
Resipi asli keluarga ini diwarisi daripada arwah bapa saudara beliau sebelum diturunkan kepada ibunya, Mak Mah Binti Long pada tahun 1981, dan seterusnya kepada Cik Wan sejak 2005 hingga kini.
“Hampir 60 tahun Rumah Dodol Warisan ini beroperasi. Saya merupakan generasi yang ketiga yang meneruskan perniagaan ini. Dodol kami begitu istimewa sekali kerana ia bukan sekadar makanan, tetapi warisan keluarga yang saya rasa bertanggungjawab untuk teruskannya.
"Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan sehingga dodol kami menjadi kegemaran kerabat diraja Perlis dan pelanggan VVIP dari negeri lain,” katanya.
🥰🥰🥰🙏🏻
Cik Wan menambah, menyediakan dodol memerlukan masa antara enam hingga lapan jam bagi memastikan ia benar-benar masak, pekat dan tahan lama.
“Nak ikut saya suka guna dapur kayu kerana ia memberikan aroma harum, namun kini untuk cepat dan sukar mencari kayu terpaksalah saya gunakan dapur gas bagi memenuhi permintaan tempahan yang semakin meningkat. Dengan 10 orang pekerja tetap, Rumah Dodol Warisan mampu memasak sehingga lapan kawah pada musim cuti sekolah bagi menampung permintaan pelanggan.
“Setakat ini kami hanya keluarkan dua perisa dodol iaitu dodol lemak biasa dan dodol pulut hitam sahaja. Buat masa ini saya tak terfikir nak tambah lagi apa-apa perisa kerana bagi saya nak buat dua perisa ini, rasanya macam tak cukup tangan kerana bukan senang nak hasilkan dodol yang terbaik dan berkualiti.
“Jika disimpan dengan betul dalam bekas bertutup, dodol kami boleh bertahan sehingga dua minggu. Saya juga sarankan jangan menyimpan dodol dalam peti sejuk kerana ia akan jadi keras dan tidak tahan lama kerana `berpeluh’ dan akhirnya akan cepat berkulat," kongsinya.

Bercakap mengenai keistimewaan dodolnya berbanding dodol lain, jelas Cik Wan lagi dia sangat menjaga kualiti resepi turun-temurun keluarganya.
"Keaslian ramuan menggunakan santan segar dan gula melaka tulen tanpa bahan pengawet menjadi rahsia keenakan dodol kami. Itu yang buat dodol saya rasanya lain daripada yang lain dan paling laris di sini.
“Saya juga berharap agar semua orang dapat makan dan rasa keenakan dodol warisan keluarga saya yang diolah oleh arwah emak saya. Harapan saya ialah untuk melihat dodol warisan keluarga ini terus dikenali, bukan sahaja di Perlis dan Malaysia, malah hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Selain dijual di rumahnya di Kampung Warna Warni, Kuala Perlis, dodol Cik Wan turut ditempah melalui WhatsApp dan dihantar ke seluruh negara.
Rumah Dodol Warisan Cik Wan beroperasi setiap hari sepanjang cuti sekolah, manakala pada minggu biasa ia dibuka dari Khamis hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 7 petang. Untuk tempahan, orang ramai boleh menghubungi 017-5124776 (Cik Wan)