Guru dan personaliti media sosial, Zack Kirana, berkongsi pengalaman zaman persekolahannya dan pandangannya tentang peranan ibu bapa serta guru dalam membentuk emosi anak-anak.
Dalam hantaran di media sosial, Zack Kirana mengimbau kenangan sewaktu zaman sekolah, termasuk pengalaman menerima hukuman daripada guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
"Cikgu lipat buku teks tebal, ketuk dekat kepala sebab tak siapkan kerja sekolah.
"Lepas tu, pembaris kayu warna kuning panjang tu pun pernah ‘kerekukk’ atas kepala, juga sebab tak siapkan kerja sekolah,” tulisnya.
Advertisement
Zack Kirana berkata dia tidak pernah mengadu kepada ibu bapanya kerana tahu mereka percaya bahawa guru mempunyai tanggungjawab untuk mendidik.
“Tak mengadu dekat Ma Abah sebab teringat Ma Abah pernah cakap, ‘Kalau anak saya buat salah, rotanlah dia, cikgu.’
"Walaupun cikgu main kepala, saya maafkan sebab cikgu dah ‘memanusiakan’ saya,” ujarnya.
Dalam hantaran sambungannya, Zack turut menekankan bahawa tanggungjawab membesarkan anak bukan sekadar memberi makan dan pelajaran, tetapi juga mendidik cara mengawal emosi dan membina karakter.
“Ibu bapa bukan sekadar perlu ‘besarkan’ anak-anak. Tapi kena latih mereka mengawal pelbagai bentuk emosi.
"Ajar anak-anak cara tangani kemarahan, cara terima kekalahan, cara terima persaingan,” katanya.

Menurutnya, guru di sekolah mampu memberi ilmu akademik dan disiplin asas, tetapi pengurusan emosi anak-anak mesti datang dari rumah, melalui kasih sayang dan teladan ibu bapa sendiri.
“Cikgu di sekolah boleh pandaikan anak-anak dari segi akademik, tapi pengurusan emosi mesti dibentuk di rumah.
"Sedih betul hari ini. Sedih sangat," luahnya.
Zack turut meluahkan kekecewaannya apabila melihat ada ibu bapa yang tidak sedar bahawa anak mereka mempunyai dua sisi berbeza iaitu satu ketika di rumah dan satu lagi di luar.
“Lebih sedih apabila ibu bapa tak tahu yang anak-anak mereka ada karakter kedua di sekolah atau di luar,” katanya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet, yang rata-rata bersetuju dengan pandangan Zack Kirana.
Ramai menganggap mesej yang dibawa sangat relevan dengan situasi semasa, di mana cabaran mendidik anak di era teknologi dan media sosial semakin besar.
Ada juga yang mengakui rindu zaman dahulu, ketika hukuman guru dianggap tanda kasih, bukan penghinaan dan anak-anak dibesarkan dengan rasa hormat terhadap orang tua serta tenaga pengajar.