Sekilas
- Nourul Depp mendedahkan hubungan dengan anak perempuannya, Ayu Nazirah, kini semakin dingin akibat pengaruh pihak ketiga.
- Dia menyerahkan segalanya kepada Allah selepas berasa sudah melakukan yang terbaik sebagai ibu dan mahu anaknya belajar melalui pengalaman sendiri.
- Nourul mengakui kesilapan terlalu melayan anak seperti kawan dan menegaskan pentingnya mengekalkan batas hubungan ibu dan anak.
Penyanyi Nourul Depp mendedahkan hubungan antara dirinya dan anak perempuannya, Ayu Nazirah kini semakin dingin.
Menurut Nourul, keadaan itu dipercayai berlaku selepas wujudnya pihak ketiga yang mempengaruhi anaknya.
"Paling menyakitkan apabila wujudnya orang ketiga yang memberi idea kepada anak saya.
"Semestinya saya tidak mampu mengawal anak kita sepenuhnya kerana dia juga mempunyai kehidupan sendiri dan berhak meneroka haluan hidupnya.
"Tapi bila ada orang ketiga yang menghasut atau memberi idea atas kepentingan diri sendiri, itu yang buat saya marah,"katanya menerusi temu bual podcast Bukak Mulut di TikTok.
Dalam masa sama, Nourul memilih untuk menyerahkan segalanya kepada Allah selepas merasakan dirinya sudah melakukan yang terbaik sebagai seorang ibu.
"Saya serahkan segalanya kepada Allah, apa yang berlaku, biarlah Allah yang menunjukkan jalan, menyedarkan, dan menguruskan semuanya.
"Kita sebagai ibu bapa sudah memberikan yang terbaik dari segi pelajaran, didikan, dan segala yang termampu. Selebihnya terletak pada diri dia sendiri,"ujarnya.
Katanya lagi, meskipun dia tidak mahu melihat anaknya terluka, dia ingin melihat anaknya belajar menempuh sendiri pengalaman hidup.
"Sebagai ibu bapa, kita tidak sanggup melihat anak terluka walaupun sedikit, kita sendiri terasa sakitnya. Kita tidak mahu mereka kecewa atau rasa rugi.
"Tetapi dalam masa yang sama, kita perlu membiarkan mereka merasai pengalaman itu agar mereka dapat belajar dan menjadi lebih matang.
"Bagi saya kalau dia nak belajar sesuatu itu tak ada masalah tapi jangan putuskan hubungan.
"Saya biarkan, sebab saya dah buat semua yang perlu dibuat,"jelasnya.
Nourul turut berkongsi kekecewaannya apabila usaha untuk memperbaiki hubungan tidak mendapat respon yang diharapkan, termasuk ketika dia menjalani pembedahan.
"Dah cuba macam-macam tapi sehingga kini saya kena operation, respon yang dia bagi tu hanyalah ‘You get well soon’. Itu dah bukan antara mak dengan anak,"katanya lagi.
Dalam pada itu, Nourul mengakui kesilapannya yang terlalu melayan anak seperti seorang rakan sehingga melewati batas dalam hubungan.
"Hubungan saya dengan anak memang seperti seorang kawan, dan saya akui itu adalah kesilapan saya kerana terlalu menganggap dia sebagai kawan.
"Hakikatnya, hubungan antara ibu bapa dan anak tidak boleh dijadikan seperti kawan.
"Kita boleh berbaik, berkongsi cerita, dan terbuka tentang banyak perkara, tetapi batas itu tetap perlu ada.
"Saya tetap seorang ibu, dan dia perlu ingat kedudukan itu. Ada perkara yang mungkin boleh dilakukan dengan kawan, tetapi bukan dengan ibu sendiri," ujarnya.