Skip to main content

Selebriti

Uqasha Harap Kamal Adli Beri Kerjasama Dalam Proses Cerai - “Jangan Buat Begini, Saya Pun Ada Kerja…”

Uqasha

Pelakon, Uqasha Senrose, berharap suaminya, Kamal Adli, hadir dan memberikan kerjasama dalam prosiding perceraian mereka yang kini sedang berjalan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Sepanjang sesi temu bual bersama media,  Uqasha kelihatan lebih banyak berdiam diri, hanya sesekali menggeleng kepala, namun tetap tenang dan bersikap profesional.

Advertisement

Ketika ditanya, Uqasha hanya berharap proses mahkamah dapat dipermudahkan.

“Saya cuma harap dia (Kamal) beri kerjasama.
Jangan buat tidak hadir begini, saya pun ada kerja saya,” katanya ringkas.

Sementara itu, peguam mewakili Uqasha Senrose, Nurfarhana Abd Manap menjelaskan anak guamnya sudah tidak tahan menghadapi pergolakan rumah tangga bersama suami, Kamal Adli membuatnya nekad memfailkan cerai pada 1 Oktober lalu.

Tambah Farhana lagi, berdasarkan maklumat yang diterima daripada anak guamnya, tiada sebarang usaha dari pihak Kamal untuk memujuk atau menyelamatkan perkahwinan mereka.

“Apa yang dimaklumkan oleh Uqasha, tiada sesi pujukan oleh Kamal. Saya tak pasti kalau sebaliknya.

“Apa yang boleh kami katakan, Uqasha sudah tidak boleh bersabar dan tiada persefahaman. Itu sahaja.

“Tapi kalau kata selepas ni ada jodoh, Alhamdulillah. Ini sahaja jawapan Uqasha,” katanya.

Farhana berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pada Rabu.

Jelas Ferhana lagi, pihaknya juga tidak boleh mengulas lanjut dakwaan wujud orang ketiga mahupun spekulasi membabitkan kerjaya Kamal.

“Perkara itu saya tidak boleh komen kerana akan dibicarakan menerusi prosiding di hadapan hakim,” katanya.

Terdahulu, pelakon, Uqasha Senrose hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ditemani peguam Nurfarhana Abd Manap sekitar pukul sembilan pagi untuk prosiding pertama kes perceraian.

Bagaimanapun, Kamal tidak hadir ke mahkamah membuatkan prosiding perceraian ditangguhkan pada 28 Oktober.

Untuk info, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga. 

Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.

Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.

Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.

Must-Watch Video

Advertisement