Sekilas
- Irfan Haris berkongsi bahawa kakaknya, Amira Othman, tidak dapat hadir di AJL40 kerana masalah kesihatan dan memilih Umairah sebagai pengganti.
- Umairah dipilih sendiri oleh Amira selepas menilai kemampuan vokalnya dan menerima jemputan secara mengejut untuk menggantikan Amira.
- Walaupun persiapan singkat, Umairah dan Irfan berjaya bekerjasama dengan baik untuk persembahan di pentas AJL40.
Penyanyi, Irfan Haris tampil berkongsi punca ketiadaan kakaknya, Amira Othman di Pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL).
Menurut Irfan, kakaknya tidak dapat hadir kerana mempunyai masalah kesihatan, sekali gus memilih penyanyi, Umairah bagi mengisi kekosongan tersebut.
“Kakak saya terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan kerana tidak cukup cergas untuk membuat persembahan. Saya tidak mahu memaksanya kerana kesihatan adalah keutamaan.
“Dia sendiri mencadangkan agar kami mencari pengganti kerana tidak mahu saya menarik diri daripada pertandingan ini,” katanya kepada Gempak.
Irfan berkata demikian ketika ditemui selepas membuat persembahan pada hari pertama AJL40 SA di Studio TV3, Glenmarie, malam tadi.
Katanya lagi, Umairah merupakan pilihan kakaknya sendiri selepas menilai kemampuan vokal yang ada pada penyanyi muda itu.
“Saya memang mahu teruskan. Kakak juga bersungguh-sungguh membantu mencari pengganti dengan bertanya kepada rakan-rakannya, namun ramai yang tidak dapat memenuhi komitmen.
“Akhirnya, Umai menjadi pilihan. Saya sendiri hanya mengetahuinya pada Jumaat lalu, agak lewat sebenarnya.
“Namun, saya percaya semuanya sudah ditentukan. Takdir mempertemukan saya dengan Umai, dan saya sangat berpuas hati dengan persembahannya,” ujarnya
Sementara itu, Umairah mengakui terkejut apabila dipelawa untuk menyanyikan lagu Rasa & Takdir bersama Irfan di pentas berprestij itu.
“Ketika itu saya baru sahaja pulang dari sekolah, tiba-tiba kak Mira (panggilan Amira) menghantar mesej kepada saya. Dia bertanya sama ada saya boleh membantu kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
“Saya agak terkejut dan tertanya-tanya sama ada ia benar atau tidak. Kemudian saya terus memaklumkan kepada ibu Rozi (pengurus) dan kami segera mengosongkan jadual sekolah untuk memberi komitmen,” katanya.
Anak saudara kepada Datuk Siti Nurhaliza itu turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk membawa lagu tersebut meskipun mengalami kekurangan persiapan.
“Alhamdulillah, saya dapat membantu. Saya anggap ini sebagai rezeki dan sangat berterima kasih kepada Kak Mira atas kepercayaan yang diberikan.
“Namun, dari segi persiapan, memang tidak mencukupi kerana kekangan masa. Untuk membina keserasian juga bukan mudah dalam tempoh singkat. Tetapi Alhamdulillah, kerjasama dengan abang Irfan sangat baik.
“Kami saling memberi kepercayaan, dan itu menjadikan segala-galanya berjalan secara semula jadi. Saya bersyukur semuanya dipermudahkan,” katanya.