Penduduk di sebuah bandar di kawasan Teluk San Francisco kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas seekor tupai agresif menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang dihantar ke unit kecemasan untuk rawatan.
Joan Heblack memberitahu stesen TV ABC bahawa dia sedang berjalan di kawasan kejiranan Lucas Valley, San Rafael, apabila seekor tupai tiba-tiba muncul dan menyerangnya dengan menggigit serta mencakar kakinya.
Advertisement
“Ia mencengkam kaki saya. Ekor berterbangan ke atas. Saya menjerit, ‘Tolong tanggalkan, tolong tanggalkan!’,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Isabel Campoy turut diserang ketika berjalan di kawasan sama. Menurutnya, tupai tersebut melompat ke arah mukanya sebelum hinggap di lengan dan mencakar hingga berdarah.
Kedua-dua wanita itu terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan, lapor stesen televisyen berkenaan pada Isnin.
Susulan itu, penduduk telah menampal risalah amaran bahawa tupai tersebut bukan perkara main-main, malah lebih lima orang dilaporkan menjadi mangsa serangan tupai 'ganas' yang muncul secara tiba-tiba berkenaan.
Menurut Lisa Bloch daripada organisasi kebajikan haiwan Marin Humane, mereka tidak menerima sebarang laporan serangan sejak pertengahan September.
Katanya, jika tupai itu muncul semula, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk menangkap dan memindahkannya.
Sumber: Sinar Harian