Tular sebuah video menunjukkan pentas yang bakal digunakan untuk Pelancaran Tahun Melawat Johor dan Festival Budaya Malaysia 2025 dilaporkan roboh selepas hujan lebat melanda kawasan Dataran Bandaraya Johor Bahru, pada petang Jumaat.
Menerusi perkongsian di platform Threads, struktur bahagian atas pentas utama kelihatan runtuh selepas dipercayai tidak mampu menampung takungan air hujan yang terlalu banyak.
“Takutnya weh! Nasib tak roboh masa majlis. Baru berlaku petang tadi di pentas kat Dataran Bandaraya JB.
“Semoga urusan Pelancaran Tahun Melawat Johor dipermudahkan,” kongsi netizen.
Bagaimanapun, menerusi tinjauan di Instagram Tourism Johor krew yang terlibat untuk majlis berkenaan sudah membaik pulih pentas tersebut.
Difahamkan pada Pelancaran Tahun Melawat Johor akan dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi-penyanyi hebat antaranya Aina Abdul, Nadeera, Alyph, Tenxi dan Haziq Rosebbi.
Sekadar Info, Johor menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sasaran itu akan dijayakan menerusi beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk pemasaran dan promosi Majestic Johor, penambahbaikan infrastruktur pelancongan, penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa dan pengenalan destinasi pelancongan mampan.