Pelayaran lebih 40 kapal Global Sumud Flotilla kini memasuki zon paling kritikal sekitar 100 batu nautika dari Gaza.
Zon ini menjadi lokasi tumpuan memandangkan terdapat beberapa misi sebelum ini sejak tahun 2010 digagalkan oleh tentera Israel.
Advertisement
Sekiranya tiada gangguan atau cabaran di sepanjang perjalanan, delegasi GSF dijangka tiba di Gaza pada sekitar 6 petang waktu Malaysia pada Khamis.
Konvoi misi kemanusiaan GSF yang membawa bantuan kemanusiaan meliputi bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dengan peserta terdiri daripada sukarelawan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.
Seramai 34 rakyat Malaysia berada di atas beberapa kapal dalam flotila itu.
Misi ini bertujuan memecahkan sekatan laut Israel yang telah berlangsung selama hampir dua dekad dan memburukkan keadaan hidup lebih 2.4 juta penduduk Gaza.
Israel sebelum ini menyatakan bahawa mereka tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki perairan Gaza dan telah merancang untuk menunda kapal-kapal GSF ke pelabuhan Ashdod.
Terdapat kebimbangan bahawa sebahagian kapal mungkin akan ditenggelamkan sebagai langkah pencegahan.
GSF kini menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak, menyebarkan mesej solidariti dan mendesak laluan selamat bagi konvoi ini.
Misi ini bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga menjadi simbol penentangan terhadap pengepungan dan kekejaman yang berterusan di Gaza.
Sumber: Awani