Kesemua 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, dibebaskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka akan dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel pada petang ini, sebelum menuju ke Istanbul, Turkiye.
Advertisement
“Alhamdulillah, 23 (rakyat Malaysia) sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel (dan) dengan pesawat khas dari Turkiye mengangkat mereka ke Istanbul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas pembebasan aktivis Global Sumud Nusantara pada Sabtu.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri berkata, pembebasan itu berlaku selepas semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
Kata beliau, semua aktivis Malaysia berkenaan dijangka mula pulang ke tanah air pada esok malam atau lusa.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, kesemua rakyat Malaysia akan ditempatkan sementara di Istanbul sekurang-kurangnya selama sehari.
Jelasnya, ini bagi membolehkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemulihan akibat trauma serta tekanan daripada tindakan keras rejim Israel.
“Selepas rundingan saya dengan Ketua Risikan Malaysia di Ankara serta penyelarasan bersama Duta Besar dan Kedutaan Malaysia di sana.
“Kami memutuskan lebih baik mereka menginap di Istanbul selama satu hingga satu setengah hari untuk pemeriksaan kesihatan dan pemulihan akibat trauma serta tekanan daripada tindakan keras rejim Israel,” ujarnya.
Untuk info, pada Khamis, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 aktivis Malaysia ditahan tentera Israel selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu), penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga), Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma), Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Selain itu, Razali Awang (kapal Inana), pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno), PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella), Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela Mandla Mandela.
Sumber: AWANI