Skip to main content

Viral

"Saya Influencer, Tak Perlu Bayar Kan?" - Pemilik Restoran Nasi Kandar Tegur Pempengaruh Nak Makan Free

influencer_free

Pemilik restoran popular Nasi Kandar Sulaiman (NKS) tampil berkongsi pengalaman lucu di Facebook selepas didatangi seorang pelanggan yang memperkenalkan dirinya sebagai 'influencer' dan meminta makanan percuma.

Menerusi hantaran di Facebook restoran berkenaan, pelanggan tersebut datang bersama keluarga dan mendakwa memiliki 40,000 pengikut di TikTok, sambil memberitahu tidak perlu membayar kerana ingin merakam video promosi untuk restoran itu.

Advertisement

“Ada seorang pelanggan ini datang bersama keluarga. Sebelum makan beliau datang kepada saya kata ‘saya influencer’. Saya pun kata ok. Lalu beliau pun tunjuk TikTok acc beliau di mana beliau mempunyai follower dalam 40K. Lepas itu beliau kata tak perlu bayar kan.

"Beliau kata akan ambil video NKS. Saya kata perlu bayar. Nak ambil video itu ikut suka beliau sahaja. Saya tidak menghalang. Tetapi perlu bayar. Sebab bukan saya jemput beliau," tulis hantaran berkenaan.

Pemilik restoran itu turut menjelaskan bahawa status sebagai influencer tidak memberi keistimewaan untuk menikmati makanan secara percuma, apatah lagi jika dilakukan tanpa sebarang perbincangan awal.

“Jadi influencer bukan bermaksud tak perlu bayar. Kalau 10 orang buat macam beliau habislah mamu akan bankrap terus hahahah. Sebab yang ini pun sudah RM53.

"Lepas beliau sudah makan ketika nak bayar beliau masih kata lagi ‘saya influencer’, beliau nak saya bagi free walaupun pada awal saya sudah beritahu yang perlu bayar😆," tambah hantaran itu lagi.

Perkongsian tersebut pantas menarik perhatian warganet yang rata-ratanya menyokong tindakan pemilik restoran.

Ramai menganggap tindakan pelanggan itu sebagai tidak beretika dan mencemarkan imej golongan influencer sebenar yang menjaga profesionalisme dalam berkolaborasi dengan peniaga.

"NKS tak perlu bantuan influencer murahan macam tu untuk buat promo. NKS dah berstatus legendary, mamu sendiri dah ramai kenal.

"Cakap dia kamu baru 40k followers, saya dah 193k followers," tulis beberapa warganet.

Must-Watch Video

Advertisement