Skip to main content

Filem

“Saya Harap Dia Juga Ada Rasa…” – Jastis Arimba Seru Syamsul Yusof Angkat Isu Palestin Dalam Karya

Jastis Arimba Syamsul

Pengarah filem Hayya 3: Gaza iaitu Jastis Arimba mendedahkan bahawa dia amat mengagumi dengan karya pengarah, Syamsul Yusof dan mengharapkan Syamsul menggunakan kemahiran serta  kepakarannya dalam menghasilkan filem yang meyuarakan rakyat Palestin.

Menurut Jastis, filem merupakan medium terbaik untuk menyampaikan mesej dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu kemanusiaan.

Advertisement

"Secara peribadi, saya memang kagum dengan Syamsul Yusof. Dia antara pengarah kegemaran saya, dan saya suka tengok filem-filem arahannya seperti filem Munafik dan Mat Kilau. Saya harap, sebagai pengarah hebat Malaysia, dia juga ada rasa prihatin terhadap rakyat Palestin dan mungkin satu hari nanti boleh menghasilkan filem yang angkat perjuangan mereka," katanya Ketika ditemui Gempak.

Jastis berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri sidang media Tayangan Perdana Filem Hayya 3: Gaza di Pavillion Bukit Jalil pada Jumaat.

Dalam masa sama, Jastis turut berkata walaupun setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan sokongan terhadap Palestin, yang paling penting ialah mesej itu sampai dan memberi kesan kepada masyarakat.

"Bagi saya, perjuangan Palestin ini seperti larian marathon, kita tak boleh berhenti atau berasa penat. Setiap orang ada cara masing-masing untuk berjuang. Ada yang menulis, melukis, menggubah lagu, malah menghasilkan filem. Semua ini boleh jadi medium untuk menyampaikan mesej kemanusiaan," ujarnya.

Jastis menjelaskan bahawa karyanya itu bukan sekadar atas dasar profesion, tetapi daripada tanggungjawab sebagai Muslim yang menentang kekejaman sambil berharap lebih ramai anak seni akan menyuarakan sokongan terhadap Palestin melalui karya mereka.

"kerja ini bukan sekadar tanggungjawab profesional, tapi satu bentuk legasi. Sebagai seorang Muslim yang menentang penjajahan dan kekejaman, saya mahu menyumbang dengan cara yang saya mampu melalui dunia filem.

"Dapat menghasilkan karya yang menyuarakan perjuangan rakyat Gaza dan Palestin adalah satu kebanggaan besar, bukan hanya untuk saya, tapi juga buat keluarga saya. Saya berharap lebih ramai pengarah di rantau ini akan terus bersuara dan menzahirkan solidariti melalui karya mereka," tambahnya.

Filem Hayya 3: Gaza terbitan Warna Pictures & 786 Productions yang diedarkan oleh Horizon Film Entertainment berkolaborasi bersama Cinta Gaza Malaysia itu bakal menemui penonton di pawagam pada 30 Oktober ini.

Barisan pelakon utama yang ditampilkan ialah Amna Shahab, Azamy Syauqi, Cut Syifa, Oki Setiana Dewi, Adhin Abdul Halim, Fauzi Baadila dan ramai lagi.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement