Sekitar 300 wanita dari Aliansi Perempuan Indonesia (API) mencuri perhatian apabila mengadakan perhimpunan dengan berpakaian serba pink dan membawa sapu lidi sebagai tanda protes di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia pada Rabu.
Menariknya, Sapu lidi tersebut dijadikan lambang untuk 'menyapu bersih' keganasan pihak berkuasa dan pembaziran wang rakyat.
“Baju pink adalah simbol keberanian wanita. Kami terinspirasi daripada wanita yang turun ke jalan dalam aksi-aksi sebelumnya, yang tetap berani meskipun berhadapan dengan pihak berkuasa.
“Kami marah kerana banyak persoalan tidak dijawab kerajaan, lambang ini menjadi bahasa bantahan kami.
“Kami ingin menegaskan bahawa keganasan negara harus dihentikan. Kehadiran wanita di jalan adalah bentuk keberanian politik,” kata jurucakap API, Mutiara Ika Pratiwi.
Sementara tu, poster bantahan dan gambar mangsa turut dipamerkan di pagar DPR, termasuk Affan Kurniawan, penunggang e-hailing motosikal yang dilanggar kenderaan pasukan polis khas (Brimob).
API turut mengemukakan enam tuntutan utama, termasuk mendesak Presiden Prabowo Subianto menghentikan keganasan negara, menarik tentera dan polis daripada urusan awam, memaksa Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit meletak jawatan, serta membebaskan semua tahanan politik tanpa syarat.
Mereka turut menolak pendakwaan tidak adil terhadap rakyat, aktivis, wartawan dan peguam, di samping menuntut agar tentera kembali ke kem serta kerajaan menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun, bersuara dan menubuhkan persatuan tanpa tekanan.
Menurut data Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI), lebih 3,300 orang ditahan polis dalam siri perhimpunan 25–31 Ogos di 20 bandar.
“Sekurang-kurangnya 3,337 peserta perhimpunan telah ditahan sepanjang 25–31 Ogos 2025 di 20 bandar, iaitu Jakarta, Depok, Semarang, Cengkareng, Bogor, Yogyakarta, Magelang, Bali, Bandung, Pontianak, Medan, Sorong, Malang, Samarinda, Jambi, Surabaya dan Malang,” kata Pengerusi YLBHI, Muhammad Isnur dalam siaran media YLBHI pada Selasa.
Selain ribuan tangkapan, sekurang-kurangnya 10 korban jiwa turut direkodkan dalam siri perhimpunan di pelbagai wilayah, termasuk Jakarta, Yogyakarta, Makassar, Solo dan Manokwari.
Malah, sebahagian insiden dikaitkan dengan tindakan kasar pihak berkuasa serta penggunaan gas pemedih mata.