Skip to main content

Selebriti

"Rasa Macam Nak Nangis, Muntah & ..." - Aisha Retno Kongsi Komen Vocal Guide Siti Nurhaliza, Kesuma Ada Makna Sendiri

Aisha retno guide tokti

Penyanyi Aisha Retno menzahirkan rasa gembira dan terujannya apabila berpeluang melakukan bimbingan vokal buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu baharu ciptaannya berjudul 'Kesuma'.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Aisha dilihat sedang memberi tunjuk ajar mengenai alunan dan lenggok vokal kepada Siti di sebuah bilik rakaman.

Advertisement

Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam mengakui berasa sangat segan untuk memberi tunjuk ajar kepada penyanyi legenda itu hingga membuatkan dirinya hampir menitiskan air mata.

"Senangnya berikan vocal guide atau vocal direct kepada Tokti. Siti Nurhaliza kut.

“Saya berasa sangat segan apabila perlu memberi arahan vokal kepadanya. Perasaan gementar itu sampai membuatkan saya hampir menangis dan rasa tidak keruan. Sayang awak, ‘kween’ Tokti,” tulisnya.

Penyanyi lagu Sutera itu turut menjelaskan bahawa gelaran Kesuma merupakan panggilan peribadinya buat Siti, menggambarkan figura itu sebagai permata berharga dalam dunia seni tanah air.

"Al-asbab Toktilah ‘Kesuma’ Malaysia dalam industri seni kita. Bagi saya, gelaran peribadi untuk Biduanita Negara itu ialah ‘Kesuma’ yang berada dalam kasta tertinggi, satu dalam sejuta, harta berharga milik Malaysia yang menjadi inspirasi ramai. Idola saya,” katanya.

Aisha turut menjelaskan bahawa lagu Kesuma diinspirasikan daripada kisah benar, menggambarkan luahan hati seorang wanita yang mendambakan cinta tulus, bukan berdasarkan rupa paras semata-mata.

“Ia mengisahkan rintihan seorang wanita yang ingin dicintai dengan ikhlas dari lubuk hati, dan dalam masa sama dihormati serta dibelai sebagai wanita yang kuat dan bernilai tinggi. Kalau bukan kerana cinta yang tulus, jangan hadir sekadar untuk bermain perasaan. Jangan cemarkan keindahan ‘Kesuma’ yang sabar menunggu dipetik di tasik hatinya,” jelasnya.

Sebelum ini, Aisha pernah meluahkan hasratnya untuk mengembalikan era tradisional Siti Nurhaliza.

Dia berbesar hati sekiranya diberikan peluang untuk mencipta lagu bergenre tradisional buat figura yang sangat dihormatinya.

Untuk rekod, Aisha merupakan penulis lirik dan komposer lagu Kesuma, yang kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik mulai Selasa.

Must-Watch Video

Advertisement