Skip to main content

Berita

Putera Mateen, Puteri Anisha Rosnah Bakal Timang Cahaya Mata Pertama

tmski

Putera Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen, mengumumkan bahawa baginda dan isteri, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, bakal menimang cahaya mata pertama mereka.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Putera Mateen menerusi hantaran di Instagram, memaparkan foto hitam putih pasangan diraja itu saling berpandangan mesra sambil berpegangan tangan di balkoni.

Advertisement

Dalam gambar tersebut, Puteri Anisha kelihatan anggun mengenakan gaun putih labuh berkancing sambil meletakkan tangan di atas perut yang mula kelihatan.

“And then there were 3,” tulis Putera Mateen di ruangan kapsyen.

Tarikh jangkaan kelahiran belum diumumkan, namun pasangan diraja itu bakal menyambut ulang tahun perkahwinan kedua mereka pada Januari depan.

Putera Mateen, 34, dan Puteri Anisha, 30, melangsungkan perkahwinan diraja yang gilang-gemilang selama 10 hari pada Januari 2024, dengan kemuncak majlis di Istana Nurul Iman, kediaman rasmi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Bandar Seri Begawan.

Majlis bersejarah itu turut dihadiri pemimpin negara, Raja-Raja Melayu serta ketua kerajaan serantau.

Putera Mateen merupakan anak ke-10 dan putera keempat kepada Sultan Hassanal Bolkiah dan bekas isteri baginda, Hajah Mariam Abdul Aziz.

Baginda mendapat pendidikan awal di Brunei sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang politik antarabangsa di King’s College London, diikuti pengajian peringkat sarjana di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Dikenali sebagai seorang yang aktif dan berdisiplin, Putera Mateen menamatkan latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst pada 2011 dan turut dikenali sebagai pemain polo berbakat.

Sebelum mendirikan rumah tangga, Putera Mateen dianggap antara jejaka diraja paling menjadi tumpuan dunia.

Puteri Anisha pula, kelahiran London, ialah seorang usahawan yang mengusahakan syarikat pakaian sutera dan agensi pelancongan mewah.

Pasangan itu difahamkan mula berkenalan sejak 2018 namun memilih untuk merahsiakan hubungan mereka sehingga majlis perkahwinan berlangsung.

Sekiranya anak yang bakal lahir itu lelaki, baginda akan menjadi pewaris keenam takhta Kesultanan Brunei.

Must-Watch Video

Advertisement