Pendakwah bebas, PU Haris Ismail mengimbau kembali momen yang menjadi kekesalan terbesar dalam hidupnya di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Haris mendedahkan bahawa dia masih menerima ejekan netizen berhubung insiden empat tahun lalu.
Advertisement
Haris menjelaskan dia tidak dimaklumkan bahawa isu peribadi akan dimainkan dalam sebuah program komedi.
"Semasa panggilan, skrip diberitahu tentang watak ustaz, namun tiada langsung disebut bahawa isu peribadi akan dimainkan," tulisnya.
Haris berkata dia amat terkilan dengan situasi berkenaan memandangkan individu yang menjemputnya ke dalam program tersebut merupakan rakan baiknya sendiri.
"Yang mempelawa saya ialah rakan baik ketika di Pencetus Ummah. Nilai persahabatan dirobek begitu sahaja demi 'rating' yang tiada arah.
"Individu tersebut masih menyimpan mesej luahan kekecewaan saya sehingga sekarang," katanya.
Bagaimanapun, Haris telah memaafkan individu tersebut kerana percaya dengan ajaran agama islam yang mengajar untuk saling bermaafan.
"Saya tidak mempunyai kawan yang ramai. Jadi, saya sangat menghargai rakan saya. Namun disebabkan hal ini telah lama berlaku, saya memilih untuk memaafkannya kerana selaras dengan arahan tuhan.
Haris turut berkata bahawa perkara tersebut bukanlah mudah buat dia dan keluarganya.
Dia juga menekankan bahawa perkongsiannya itu hanya sekadar luahan, bukan desakan bagi mana-mana pihak.
"Jika masa boleh diundurkan, saya akan buang momen in dalam hidup saya. Ia bukan mudah untuk saya dan keluarga. Walaupun empat tahun telah berlalu, saya masih dihujani dengan komen sindiran mengenai karpet.
"Tiada apa yang saya boleh lakukan. Penulisan ini bukan desakan atau permintaan. Ini sekadar penceritaan dan luahan kekesalan. Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali urusan baik saya disampaikan tuhan.