Sekilas
- Pelakon Hisham Hamid berjaya menurunkan hampir 10 kilogram semasa penggambaran filem aksi terbaharunya, Black Ops, disebabkan jadual penggambaran yang padat dan berpuasa.
- Ini adalah pengalaman pertama Hisham dalam filem aksi sepenuhnya, di mana dia menjalani latihan intensif dan menghadapi beberapa kecederaan kecil semasa penggambaran.
- Filem Black Ops arahan Syafiq Yusof dan Chui Tze Yui dijangka ditayangkan di pawagam pada penghujung tahun 2026 dengan barisan pelakon terkenal seperti Sharnaaz Ahmad dan Aaron Aziz.
Pelakon, Hisham Hamid mendedahkan dia mengalami penurunan berat badan yang ketara ketika menjalani penggambaran filem terbaharunya, Black Ops.
Hisham atau nama penuhnya Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 41, berkata dia berjaya menurunkan hampir 10 kilogram sehingga berat badannya kini melebihi sasaran asal.
Menurutnya, penurunan berat badan itu berlaku secara mendadak kerana penggambaran bermula ketika bulan puasa selain jadual penggambaran waktu malam yang memenatkan sehingga menyebabkan selera makannya juga semakin berkurang.
"Saya hilang berat dalam 10kg. Sasaran asal sekitar 82 atau 83kg, tapi sekarang berat saya 78kg. Mungkin terlebih turun sebab saya berpuasa dan kerap shooting malam. Walaupun bukan 12 jam penggambaran, penatnya memang lain macam. Makan pun tak sangat,"katanya kepada Gempak.
Hisham berkata demikian ketika ditemui di Set Penggambaran filem Black OPS di Jalan Kuchai Lama pada Selasa.
Dalam pada itu, Hisham turut berkongsi detik pertama kali menerima tawaran membintangi naskhah tersebut sehingga dia terlupa mengambil kad bank ketika berada di bank kerana terlalu teruja.
“Ini kali pertama saya terlibat dalam filem aksi sepenuhnya. Hari saya terima panggilan tawaran itu, saya terlalu teruja sampai tertinggal kad bank ketika nak buat deposit. Memang dari dulu lagi saya teringin nak buat aksi.
"Bila semuanya dah disahkan, saya terus ambil personal trainer dan mula latihan dua hari selepas itu. Saya buat persiapan rapi, lebih-lebih lagi sebab saya bergandingan dengan Sharnaaz dan Andy. Saya juga banyak ambil inisiatif sendiri sebab yang lain semua sangat hebat, jadi saya kena capai standard yang sama,"ujarnya.
Sementara itu, Hisham berkata dia turut mengalami beberapa kecederaan ketika melalukan babak aksi, khususnya di bahagian buku lali yang mengambil masa beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya.
"Saya ada berlaku kecederaan di bahagian belakang buku lali ketika melakukan salah satu aksi. Ambil masa kira-kira dua minggu untuk sembuh sepenuhnya. Saya jalani rawatan laser dan ultrasound. Selain itu, rambut saya pernah terbakar dan pernah juga terhentak meja. Tapi itulah cabaran aksi, saya memang sudah bersedia dengan segala kemungkinan,"kongsinya.
Filem Black OPS arahan Syafiq Yusof dan pengarah Hong Kong, Chui Tze Yui ini dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun 2026.
Selain Hisham, antara bintang yang menjayakan filem ini adalah, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan dan ramai lagi.