Sekilas
- Aina Abdul mengakui tidak berpuas hati dengan persembahannya pada separuh akhir AJL40 kerana gangguan teknikal yang berlaku secara tiba-tiba.
- Gangguan tersebut tidak pernah berlaku sepanjang sesi raptai dan menyebabkan Aina rasa kecewa, namun dia menerima situasi itu dengan hati terbuka.
- Aina berjanji akan menebus kekurangan tersebut di pentas final dan berharap penonton serta juri memahami keadaan sebenar persembahannya.
Penyanyi, Aina Abdul akui tidak berpuas hati dengan persembahannya pada malam separuh akhir Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL) kerana mengalami gangguan teknikal.
Menurutnya, perkara seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang penglibatannya dalam mana-mana anugerah muzik, malah sesi raptai juga tiada sebarang permasalahan dan berjalan dengan lancar.
“Saya tidak berapa puas sebenarnya. Mungkin ada yang perasan, ada sedikit gangguan teknikal yang berlaku dan itu antara sebab saya rasa kurang puas hati.
“Gangguan teknikal itu berlaku seketika dan sedikit sebanyak mengganggu persembahan saya. Sejujurnya, saya agak terkilan dan kecewa juga. Sepanjang sesi raptai, langsung tiada masalah seperti ini berlaku.
“Namun, inilah persembahan secara langsung. Apa sahaja boleh terjadi. Saya terima sahaja, cuma rasa sedikit kecewa itu memang ada,” katanya kepada Gempak.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media hari pertama AJL40 SA, pada Jumaat.
Bagaimanapun Aina tetap menerima perkara tersebut dengan hati yang terbuka dan berjanji akan menebus semula dirinya di pentas final anugerah berkenaan.
“Sebenarnya sepanjang saya sertai Muzik-Muzik ataupun AJL, perkara sebegini tidak pernah berlaku. Tetapi perkara tersebut berlaku pada saya malam ini (semalam). Dah nasib saya. Tak apa lah,” jelasnya.
“Saya harap akan ada peluang lain, mungkin di pentas final untuk saya tebus kembali segala kekurangan yang berlaku.
Dalam masa sama, pelantun lagu Sumpah itu turut meluahkan rasa bimbang jika persembahannya pada malam itu tidak disambut baik oleh para penonton di rumah.
“Walaupun begitu, kalau ada yang kata persembahan saya masih bertenaga, saya bersyukur. Gangguan itu hanya berlaku di hujung persembahan sahaja. Saya risau juga memikirkan penonton di rumah kerana mereka tidak menyaksikan secara langsung dan mungkin akan membuat pelbagai tanggapan.
“Namun bagi saya, yang penting adalah juri yang berada di hadapan dan penonton di studio dapat melihat sendiri persembahan saya. Mereka tahu saya menyanyi secara langsung dan memahami bahawa perkara seperti ini memang boleh berlaku,” ujarnya.