Sekilas
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pemilik Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan MAIWP membayar ganti rugi RM1.43 juta kepada 17 keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz tersebut.
- Setiap waris keluarga mangsa turut menerima ganti rugi kesedihan sebanyak RM10,000 dan kos RM20,000 daripada ketiga-tiga defendan atas kecuaian memastikan keselamatan pelajar dan guru.
- Peguam plaintif mengumumkan akan memfailkan rayuan selepas mahkamah mendapati defendan cuai walaupun mereka tidak mengaku bertanggungjawab atas kejadian kebakaran yang meragut nyawa 23 penghuni pusat tahfiz itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan pemilik Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membayar ganti rugi berjumlah RM1.43 juta kepada 17 anggota keluarga mangsa kebakaran di pusat pengajian tersebut.
Dr Suzana Mohamad Said selaku Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi turut memerintahkan pemilik pusat tahfiz, Mohd Zahid Mahmood dan isteri Samsurini Mohd Anuwi serta MAIWP membayar ganti rugi kesedihan RM10,000 bagi setiap waris keluarga yang kehilangan anak mereka.
Bukan itu sahaja, ketiga-tiga defendan turut diarah membayar kos sebanyak RM20,000 kepada setiap plaintif.
Menurut Suzana, mahkamah mendapati kesemua defendan telah berlaku cuai dalam memastikan keselamatan pelajar tahfiz serta guru-guru berada dalam keadaan yang baik.
"Keputusan mahkamah bergantung kepada pembuktian, mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan berdasarkan emosi dan kesesuaian, tetapi berpaksikan undang-undang sedia ada serta beban untuk membuktikan tuntutan adalah kepada pihak plaintif.
"Tidak dinafikan oleh mana-mana pihak bahawa kebakaran berlaku, kematian dan kecederaan berlaku. Jadi siapa bertanggungjawab?
"Pihak defendan tidak mengaku bertanggungjawab tetapi semua menyatakan ia akibat aktiviti jenayah yang sudah diputuskan oleh mahkamah jenayah. Kes ini membabitkan tuntutan sivil dan siapa sebenarnya cuai serta bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili kesemua plaintif iaitu Mohaji Selamat memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan.
Pada Jun 2018, kesemua plaintif memfailkan saman berkenaan terhadap pasangan suami isteri pengusaha tahfiz termasuklah pihak MAIWP selepas mendakwa ketiga-tiga defendan melakukan kecuaian sehingga menyebabkan sebahagian pelajar pusat tahfiz itu menjadi mangsa kebakaran 14 Sept 2017.
Pada tarikh tersebut, telah berlakunya satu kebakaran di pusat tahfiz berkenaan yang menyebabkan 21 pelajar serta dua tenaga pengajar maut selepas terperangkap dalam kebakaran bangunan sementara itu.
Pada 21 Mac 2024, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki berumur 22 tahun selepas disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran tersebut.
Sumber: Sinar Harian