Sekilas
- Watie Sadali menasihati artis baharu supaya menjaga disiplin dan menghormati masa ketika penggambaran demi kelangsungan kerjaya mereka.
- Watie kecewa dengan sikap sombong dan kurangnya persediaan artis baharu dalam menjalankan peranan mereka di set.
- Beliau melihat jurang kualiti antara artis lama yang lebih berdisiplin dan artis sekarang yang dianggap lebih manja dan kurang tegas.
Pelakon, Watie Sadali berkongsi pengalamannya berdepan dengan artis baharu yang tidak menghormati masa ketika penggambaran.
Menurut Watie, dia menasihati pendatang baru supaya menjaga disiplin kerana perbuatan mereka sentiasa diperhatikan, terutamanya di zaman media sosial, selain demi kelangsungan kerjaya mereka.
"Saya sendiri banyak hadap artis yang ada masalah disiplin di set pengembaraan tetapi saya tak sebarkan dekat orang. Tuhan pilih saya mungkin sebab saya sejenis cari kerja. Kalau nak berada lama dalam industri, dengar nasihat saya.
"Jangan ingat orang tak bercakap terutama sekarang zaman media sosial. Mereka ada group dan sekejap sahaja perkara itu tersebar kalau buat hal," katanya kepada Gempak.
Watie berkongsi perkara tersebut ketika program meet and greet Dapur Goodday Misi Inspektor Sani di Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3 pada Sabtu lepas.
Tambah Watie, dia tidak kisah jika artis baharu lewat tetapi apa yang membuatkan dirinya terkilan adalah sikap sombong mereka yang tidak meminta maaf.
"Saya mungkin tak kisah kau datang lambat janji minta maaf. Kalau buat sombong itu yang saya tak boleh. Budak zaman sekarang saya pelik, nak cakap maaf pun susah. Harap-harap ubah perangai sebab suatu hari nanti bila kau ada anak, kau akan faham," ujarnya.
Selain itu, Watie turut melihat segelintir artis baharu tidak bersedia dengan peranan mereka dan mengambil mudah kerjaya mereka.
"Saya mungkin tidaklah cantik mana tetapi saya jaga hasil kerja saya. Saya datang awal dan sentiasa bersedia dengan peranan saya di set.
"Sekarang kalau tengok mereka pun tak tahu karakter diri mereka. Mungkin sebab mereka rasa rating atau mereka ada following berjuta. Jadi, mereka ambil perkara itu dengan sambil lewa," kongsinya.
Ahli kumpulan Elite itu juga menyedari jurang perbezaan kualiti antara artis zaman dahulu dan sekarang.
Menurut Watie, artis dahulu lebih berdisiplin, manakala artis kini menjadi lebih manja kemungkinan kerana kurang berdepan dengan senior yang tegas.
"Dulu artis lama, mereka agak disiplin. Saya akan datang sejam sebelum. Dulu kami sampai berlawan datang awal. Sekarang, orang macam terlalu tenang. Tak tahu kenapa mereka jadi macam itu dan tidak kekalkan disiplin.
"Zaman dulu susah nak masuk industri. Kita boleh lihat sendiri perjalanan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Zaman kami banyak yang garang. Mungkin sekarang tak garang sebab itu mereka naik lemak," jelasnya.