Skip to main content

Viral

"Pelajar Terlibat Salah Laku Seksual Di Melaka Dibuang Sekolah Serta-Merta" - KP Pendidikan

KPP

Kesemua murid yang terlibat dalam kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka, telah diambil tindakan dibuang sekolah serta-merta, kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad.

Dalam sidang media khas di Putrajaya pada Isnin, beliau berkata, perkara itu diputuskan oleh Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang semalam.

Advertisement

Selain itu, beliau berkata, kesemua murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, namun ia harus dilakukan sama ada di pusat tahanan, atau tempat yang berasingan.

“Pada waktu ini semua murid yang menjadi suspek kes telah ditahan reman polis, dan kebenaran utnuk suspek mengambil SPM tidak sama sekali bermakna mereka terlepas daripada hukuman … ia tak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap diberikan, sementara kes melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak berkuasa.

“Suspek yang terlibat tidak akan mengambil SPM di sekolah mereka, tetapi berada di tempat sama ada di tempat tahanan atau di tempat berasingan dari pusat di sekolah.

"Pada masa sama Lembaga Tatatertib Sekolah telah bersidang hari ini dan jatuhkan hukuman buang sekolah terhadap semua saspek yang terlibat,” katanya lagi.

Mohd Azam berkata, pihak Kementerian juga akan memastikan murid terbabit menerima bantuan sewajarnya, khususnya dari segi rawatan serta pengurusan emosi.

Pada Sabtu lepas, media melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di sini minggu lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar S.R Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini bagi membantu siasatan.

Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.

Dalam pada itu Mohd Azam berkata, KPM bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah, bagi menambah baik garis panduan sedia ada dalam menguruskan hal-hal berkaitan.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai oleh wakil daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), serta agensi yang berkaitan.

“Kesemua dapatan Jawatankuasa Khas atau inisiatif ini kita akan satukan, dan kita akan keluarkan satu garis panduan yang komprehensif. Bukan sekadar garis panduan yang agak terpisah … kita nak satukan jadi garis panduan komprehensif, dan kita akan dapat satu garis panduan yang lengkap dan mudah dirujuk.

“Kita akan keluarkan (garis panduan itu) sebaik semua Jawatankuasa Khas tamat kerja mereka, dan kita (jangka) akan keluarkannya pada bulan 12 (Disember), Menteri akan umumkan Garis Panduan yang telah kita tambah baik dan murnikan lagi mengikut perubahan zaman,” katanya lagi.

Sumber: Awani

Must-Watch Video

Advertisement