Sekilas
- Seorang pelajar IPT mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencemarkan al-Quran dan menghantar hantaran komunikasi jelik di media sosial di Mahkamah Sesyen Kuantan.
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dan menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
Seorang penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan bagi pertuduhan mencemarkan al-Quran serta melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lepas.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, S.Vikneswaran di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad sebelum minta untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencemarkan suatu benda yang dianggap suci oleh penganut Islam, iaitu sebuah al-Quran, dengan niat mengaibkan agama Islam di sebuah kediaman di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan pada 22 Februari 2026.
Bagi perbuatan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara sedar menghasilkan dan menghantar komunikasi jelik melalui aplikasi Threads dengan niat menyakitkan hati orang lain pada tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2), denda sehingga RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan supaya beliau melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Awani