Sekilas
- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan nama klasik seperti Kamarudin, Baharudin, dan Husain semakin kurang digunakan untuk bayi yang lahir selepas tahun 2000.
- Ibu bapa kini lebih gemar memilih nama moden atau mengubah ejaan nama lama kepada versi yang lebih kontemporari seperti Zara, Hafeez, dan Ameer.
- Walaupun trend nama moden meningkat, nama Muhammad dan Nur masih kekal sebagai pilihan paling popular di Malaysia antara 2024 hingga 2025.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan beberapa nama yang dikategorikan sebagai klasik seperti Kamarudin, Baharudin, Abdullah, Kassim, Osman dan Husain tidak lagi menjadi pilihan untuk diberikan kepada bayi yang lahir pada era moden ini.
Perkongsian itu dibuat berdasarkan rekod JPN yang mendapati beberapa nama tersebut sudah kurang didaftarkan sekaligus menyebabkan jumlahnya jauh lebih rendah berbanding pendaftaran nama yang lebih moden.
Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, penggunaan nama tersebut menunjukkan penurunan ketara bagi bayi yang lahir selepas tahun 2000.
"Penurunan penggunaan nama-nama lama ini adalah disebabkan perubahan zaman dan trend yang mana ibu bapa lebih gemar menggunakan nama lebih moden dan menggabungkan nama lama dengan nama lain.
"Namun, JPN tiada kajian khusus mengenai nama lama yang semakin pupus. Fungsi utama JPN adalah untuk mendaftar dan merekod.
"Sama ada nama itu berkaitan tema tertentu atau nama lama yang nak pupus, itu terpulang kepada ibu bapa. JPN bersifat terbuka terhadap rakyat.
"Kalau ibu bapa nak letak nama 'Gajah' atau 'Rimau' sekalipun, kita (JPN) akan daftarkan, selagi tidak melanggar garis panduan atau mempunyai maksud yang sangat buruk," katanya.
Tambah Badrul Hisham, ibu bapa masa kini lebih cenderung untuk menamakan anak mereka dengan gaya ejaan yang lebih moden dan kontemporari berbanding ejaan nama klasik.
Sebagai contoh, ejaan nama seperti Zahra akan menjadi Zara, Hafiz menjadi Hafeez dan Amir menjadi Ameer.
Selain itu, mereka juga cenderung menggunakan nama seperti Noah, Mikael, Zayn, Rayyan, Sofia, Inara, Alessa, Maryam serta Aurora.
"Secara purata, walaupun nama moden semakin banyak digunakan, namun nama Muhammad dan Nur masih memegang jumlah pendaftaran tertinggi secara keseluruhan di Malaysia antara 2024 hingga 2025.
"Ini kerana nama terbabit melambangkan identiti bangsa dan agama," katanya.
Berdasarkan rekod dari 2024 hingga tahun lalu, nama Muhammad merekodkan 6,603 pendaftaran dan Nur sebanyak 3,926.
Sementara itu, rekod pencarian JPN juga mendapati antara nama lama kurang digunakan adalah seperti Husain yang merekodkan 27 pendaftaran; Baharudin (53); Mustapha (56); Hussein (64); Kamarudin (65); Kassim (118); Karim (135); dan Osman (279).
Bagaimanapun, nama Muhammad dan Nur kekal sebagai nama paling popular dan banyak didaftarkan di JPN sehingga kini.
Sumber: Harian Metro