Sekilas
- Roslan Shah menafikan dakwaan bahawa dia menggunakan individu OKU sebagai tetamu dalam program Night Walk dan menjelaskan ia adalah atas permintaan individu tersebut untuk mencabar diri.
- Roslan menetapkan syarat tidak menyentuh individu OKU itu dan menganggap penyertaan tersebut sebagai peluang dan rezeki, walaupun pada awalnya pihak produksi keberatan.
- Individu OKU tersebut menerima bayaran sebanyak 2,000 SGD selepas berjaya menamatkan cabaran Night Walk di tanah perkuburan India, walaupun menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Pengacara dan pelakon, Roslan Shah menafikan dakwaan bahawa dia ingin menggunakan individu orang kurang upaya (OKU) sebagai tetamu dalam program Night Walk terbitan Mangobossku.
Roslan atau ebih mesra dipangil Cik Lan menjelaskan bahawa dia hanya memenuhi permintaan individu yang dikenali sebagai Mass Factorz itu kerana dia mahu mencabar dirinya dalam segmen tersebut.
"Saya tidak pernah tawarkan kepada dia untuk buat 'night walk' itu tetapi dia yang mahu mencubanya sendiri. Saya hanya menghormati permintaan dia.
"Bagi saya, kita tidak boleh pandang remeh terhadap OKU, mereka juga adalah manusia biasa.
"Saya juga menetapkan syarat, boleh pergi bersama tetapi saya tidak boleh sentuh dia," katanya kepada Gempak.
Cik Lan berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media acara OHBulan! Paling Viral Online yang diadakan di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Dalam pada itu, Cik Lan berkata pada awalnya dia dan pihak produksi agak keberatan untuk menerima penyertaan Mass Factorz kerana bimbang akan keadaan kesihatan dan kecaman netizen.
Bagaimanapun, Roslan menggangap ini adalah rezekinya kerana individu berkenaan telah menerima bayaran yang agak tinggi selepas berjaya menamatkan cabaran tersebut.
"Apabila banyak sangat reaksi dan juga tawaran yang dibuat kerana dia nak sangat buat night walk untuk mencabar diri, produser pun berikannya peluang.
"Ada yang kecam dan ada yang suka, tetapi bagi saya ini adalah rezeki dia. Bayaran yang diberi adalah sebanyak 2,000 SGD dan ia dilakukan di tanah perkuburan India," ujarnya.
Sebelum ini, Cik Lan menerima tentangan hebat daripada orang ramai kerana mengambil individu kontroversi untuk menunggang isu.