Sekilas
- Drama Band akan mengadakan Konsert 15 Tahun pada 31 Januari 2026 di RCD BIG Studio, Shah Alam, dengan kapasiti 2,500 penonton dan menampilkan 27 lagu selama lebih 2 jam 30 minit.
- Vokalis Aepul Roza menegaskan mereka tidak menjadikan keuntungan sebagai fokus utama dan sengaja menetapkan harga tiket yang berpatutan untuk tidak membebankan peminat.
- Tiket konsert mula dijual pada 11 Disember 2025 dengan empat kategori harga, dan konsert ini dianjurkan bersama sokongan Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures.
Bakal meraikan perjalanan 15 tahun dalam industri, kumpulan terkenal Drama Band tetap berpegang teguh dengan prinsip mereka dengan tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama setiap kali membuat persembahan.
Vokalisnya, Aepul Roza menegaskan bahawa mereka hanya mahu menghiburkan peminat dan membalas sokongan yang telah diberikan sejak awal perjalanan mereka.
“Kerisauan bukan cara kerja kami. Ia tidak efisien. Rezeki semuanya di tangan Allah. Kami hanya bekerja dan memulangkan semula kepada para peminat. Kami mahu mereka menikmati setiap persembahan kami,” katanya kepada Gempak.
Aepul berkongsi perkara tersebut ketika mengadakan sidang media Konsert Drama 15 Tahun di Rusa Cafe, Puchong pada Rabu.
Band yang terkenal dengan lagu FYP itu turut menjelaskan bahawa mereka tidak sampai hati menetapkan harga tiket yang tinggi kerana enggan membebankan peminat yang hadir.
"Setiap kali kami membuat persembahan, kami memang tak sampai hati nak letak harga tinggi kerana konsert bukan tempat kami mencari duit. Sumber keuntungan kami lebih kepada jemputan program. Kami tak mahu membebankan mereka. Keuntungan bukan fokus kami.
“Selama ini pun, modal kami jarang kembali. Itu tanda kasih sayang kami pada peminat. Namun kali ini, mungkin dapatlah pulang modal sedikit,” ujarnya.
Sebagai info, Konsert Drama 15 Tahun dianjurkan bagi meraikan perjalanan muzik mereka bersama peminat dan bakal berlangsung pada 31 Januari 2026 di RCD BIG Studio, Shah Alam.
Konsert yang dianjurkan oleh Aepul Roza Enterprise dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures bakal memuatkan 2,500 orang.
Drama Band dijangka mempersembahkan 27 buah lagu dengan durasi minimum 2 jam 30 minit.
Selain Aepul, Drama Band turut dianggotai Daus (bass), Adib (gitar), Padel (gitar), Syahmir (keyboard) dan Faeez (dram).
Tiket konsert mula dijual pada 11 Disember 2025 melalui platorm www.ticket2u.com/drama15tahun dengan empat kategori harga: VIP Seat – RM158, Normal Seat – RM108, Rockzone – RM88 dan General Admission – RM58.
Untuk rekod, pada 5 Oktober tahun lalu, Drama Band telah mengadakan konsert sulung mereka, The Hardest Malam Drama, di Zepp Kuala Lumpur yang berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 penonton.