Pelakon, Angeline Tan melakar sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul (Kategori Saudara Baru Cemerlang) pada sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan, hari ini.
Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka menerima penghormatan sebesar itu.
“Allah, sangat terharu dan macam tak percaya Angeline yang sangat kecil ini diberi satu anugerah yang sangat besar dan bermakna pada hari yang sangat mulia ini.
“Sejak Angeline lahir semula sebagai seorang Islam, Angeline pernah kata, saya berjanji, saya nak sebarkan ataupun menyampaikan erti Islam yang betul kepada bukan Islam supaya semua orang faham apa maksud Islam itu dan jangan salah faham.
“Bila mereka tak salah faham, negara kita akan aman dan ramai yang lebih mengerti apa itu erti Islam, mungkin satu hari nanti mereka pun akan jadi seperti Angeline juga,” katanya.
Angeline yang terkenal dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu turut berkata bahawa penganugerahan itu bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah perjalanan panjang yang menuntut lebih kesungguhan.
“Sejak Angeline memeluk Islam, Angeline rasa itu adalah misi pertama Angeline dan Angeline harap Allah terus memberi Angeline lagi banyak peluang untuk membuka lagi banyak ruang untuk Angeline buat apa yang Angeline hendak selama ini.
“Dan anugerah ini bukan hanya untuk Angeline, untuk Abang Sabri, keluarga Angeline sebab kalau bukan Abang Sabri, Angeline tidak akan dapat menikmati Islam dan untuk semua orang yang pernah doa untuk Angeline,” ujarnya lagi.
Ruangan komen di media sosial juga dibanjiri dengan pelbagai komen positif yang mengucapkan tahniah kepadanya dan menyatakan bahawa anugerah tersebut telah berada di tangan yang tepat.
"Tahniah puan, semoga Allah merahmati puan.
"Beliau memang layak diiktiraf. Seorang yang sangat konsisten, tekun dan sentiasa rendah diri.
"Sangat layak. Contoh yang terbaik. Tahniah puan.
"Alhamdulillah, Tahniah sangat membanggakan," komen netizen.
Majlis penuh barakah itu turut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ibrahim di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Sekadar rekod, Angeline telah memeluk Islam pada 26 September 2023 sebelum mendirikan rumah tangga bersama pelakon serta pengarah terkenal, Sabri Yunus pada 14 Oktober 2023.
Selebriti
"Kalau Bukan Abang Sabri, Saya Tidak..." - Angeline Tan Terharu Terima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul
