Penyelidik gempar dengan kewujudan seekor jerung berwarna jingga yang pertama kali dijumpai di dunia.
Saintis turut berkongsi penemuan luar biasa berhampiran Taman Negara Tortuguero di Costa Rica pada tahun lalu menerusi jurnal Marine Biology.
Advertisement
Gambar haiwan akuatik itu pada asalnya dikongsi oleh syarikat pelancongan Parisima Domus Dei ketika aktiviti memancing di perairan pada kedalaman 37 meter dengan suhu air 31.2 darjah Celsius.
“Mereka melepaskan jerung itu setelah merakamkan gambarnya. Penemuan spesies pelik yang menyerupai ikan emas itu kemudiannya dimaklumkan kepada pakar marin,” jelas laporan media tempatan.
Difahamkan, dua keadaan genetik yang jarang berlaku iaitu gabungan albinisme dan xantisme, yang menjejaskan pengeluaran melanin, menyebabkan jerung itu berwarna jingga.
Ia turut bermata putih, dan warnanya yang unik menjadikan jerung itu lebih mudah terdedah kepada pemangsa.
Penyelidik percaya penemuan itu boleh membawa kepada persoalan lebih meluas tentang kepelbagaian genetik populasi jerung spesies nurse shark.
Xantisme pula dianggap jarang berlaku dalam alam haiwan meskipun ia pernah diperhatikan pada ikan, reptilia dan burung.
Jerung jingga itu merupakan kes pertama xantisme yang didokumenkan dalam ikan bertulang rawan di Caribbean.
Sumber: Sinar Harian