Ringkasan AI
- Penduduk di Jalan Moran, Tiberias, hidup dalam ketakutan akibat peningkatan serangan ular dalam pangsapuri dan kawasan sekitar.
- Ular dilihat hampir setiap hari di dalam rumah, tangga, dan halaman, menimbulkan kebimbangan tentang sarang di bawah bangunan.
- Pihak majlis perbandaran pernah menghantar penangkap ular, tetapi masalah semakin teruk dan tiada pembasmian menyeluruh dilakukan.
- Penduduk juga melaporkan kelibat kala jengking, menambah kebimbangan keselamatan mereka.
- Mereka mendesak tindakan pembersihan dan pembasmian segera bagi memastikan keselamatan keluarga dan kanak-kanak.
Penduduk di Jalan Moran, Tiberias, dilaporkan hidup dalam ketakutan susulan peningkatan kejadian 'serangan' ular yang semakin membimbangkan, menurut laporan akhbar Maariv.
Dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, ular dilihat hampir setiap hari di dalam pangsapuri, tangga dan kawasan halaman, menimbulkan kebimbangan wujudnya sarang di bawah bangunan kediaman.
“Kami seolah-olah hidup dalam filem seram. Anak saya bangun untuk minum air dan menemui seekor ular dalam sangkar anjing.
“Saya masuk ke dapur, juga ada seekor ular. Kini ia sudah menjadi rutin, tiada hari tanpa ular,” kata seorang penduduk.
“Anak saya menjumpai seekor anak ular di ruang tamu semalam. Hampir setiap hari kami melihat ular di tangga atau berhampiran bangunan. Kami takut hendak masuk ke rumah sendiri,” ujar seorang lagi penduduk.
Penduduk mendakwa pihak majlis perbandaran pernah menghantar penangkap ular sebelum ini, namun keadaan semakin teruk.
“Ular-ular terus keluar dari tanah dan tiada siapa menyiasat punca atau melakukan pembasmian menyeluruh. Pengabaian ini membahayakan nyawa,” ujar seorang lagi penduduk dengan nada kecewa.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan aduan berkenaan dan memaklumkan bahawa penangkap ular telah dipanggil semula untuk memeriksa kawasan serta menilai sama ada rawatan khusus boleh dilakukan bagi menghapuskan tempat pembiakan.
Namun, penduduk mendakwa tindakan hanya diambil di kawasan awam, bukan di sekitar atau dalam bangunan.
“Mereka kata mungkin datang dari kawasan lapang berhampiran.
“Mereka janji akan maklumkan perkembangan, tetapi sementara itu, kami sudah jumpa ular lain,”kata seorang wanita.
Lebih membimbangkan, beberapa penduduk turut melaporkan kelibat kala jengking di kawasan sama.
“Seolah-olah kami tinggal di Jurassic Park. Ia berbahaya, dan selagi belum berlaku tragedi, mereka tidak akan faham,” kata seorang lelaki.
Penduduk kini mendesak agar pembersihan dan pembasmian menyeluruh dilakukan segera, dengan menyifatkan situasi itu sebagai ancaman serius terhadap keselamatan keluarga dan kanak-kanak yang tidak lagi berasa selamat di rumah sendiri.
Sumber: Sinar Harian