Sebuah pesawat yang membawa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang diserang dan ditahan oleh Israel di perairan antarabangsa, selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul pada petang Sabtu.
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Eilat, Israel itu tiba di lapangan terbang berkenaan pada 3.50 petang waktu tempatan, lapor Anadolu Ajansi.
Advertisement
Seramai 137 orang daripada flotila itu, termasuk 36 warga Turkiye dan 23 rakyat Malaysia, tiba di Istanbul menerusi penerbangan berkenaan.
Ketibaan para aktivis itu disambut oleh pegawai dan orang ramai di lapangan terbang.
Selain warga Turkiye dan Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang dari Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia dan Jordan.
Sementara itu, menerusi siaran langsung TRT Haber, kelibat rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dirakam turun dari pesawat Turkish Airlines bersama aktivis Turkiye yang lain.
Antaranya ialah Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik dan Pu Rahmat Ikhsan yang dilihat gembira turun daripada pesawat sambil melambaikan tangan ke arah pengamal media serta orang awam.
Peserta lain seperti Ardell Aryana, Hazwani dan Heliza Helmi, Musa Nuwayri, Haroqs, Ilyia Balqis turut kelihatan berada di dalam pekarangan lapangan terbang sambil wartawan menemu bual Zulfadhli Khairudin.
Kesemuanya tampak tenang dan tersenyum sebaik menjejakkan kaki di bumi Istanbul selepas dibebaskan rejim Israel.
Sumber: Sinar Harian