Goodday KidSTART 3.0, program keusahawanan kanak-kanak terbesar di Malaysia, menutup tirainya apabila Pearl Liang Yee Herr, 12, dinobatkan sebagai juara menerusi episod akhir yang disiarkan di Astro.
Mewakili SJK(C) Serdang Baru 1, Selangor, Pearl Liang membawa pulang hadiah utama bernilai RM20,000 hasil idea inovatifnya, “AI Unicorn”, satu penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu pelajar mendapatkan saiz pakaian seragam sekolah yang paling sesuai.
Idea ini tercetus daripada pengalaman peribadinya sendiri dan hasrat untuk membantu kanak-kanak lain yang menghadapi masalah sama berasa lebih yakin di sekolah.
Tempat kedua dirangkul oleh Muhammad Nukman, 12, dari SK Sungai Ara, Pulau Pinang, yang memenangi RM10,000 dengan konsep mesra alam “Food Rescue Hub”.
Idea ini menggabungkan penggunaan AI dan dron untuk mengumpul lebihan makanan bagi diproses menjadi baja organik.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Teo Kevan, 9, dari SJK(C) Kuen Cheng 2 menerusi “Furever”, satu konsep pengalaman interaksi haiwan peliharaan jangka pendek yang membolehkan kanak- kanak menikmati aktiviti bermain sambil mempelajari asas penjagaan haiwan tanpa komitmen jangka panjang.
Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd merangkap jurucakap Goodday Milk, Amy Gan berkata program ini mencerminkan komitmen jangka panjang jenama tersebut dalam membentuk generasi muda yang berkeyakinan dan berdaya saing.
“Pembangunan kanak-kanak bukan sekadar berkisar kepada pemakanan berkhasiat, tetapi juga tentang menyediakan persekitaran yang menggalakkan penerokaan idea dan kreativiti bagi menyerlahkan potensi diri.
"Setiap tahun, keberanian serta imaginasi para peserta menjadi pendorong utama kami untuk terus menyokong platform yang membantu dalam perkembangan mereka," katanya.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi dan Pendidikan, Aniza Kamarulzaman, menyuarakan sokongan beliau semasa rakaman episod terakhir.
“Kementerian Pendidikan Malaysia cukup berbangga untuk menyokong inisatif yang membina kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah serta komunikasi di kalangan pelajar," ujarnya.
Inisiatif seperti Goodday KidSTART memberikan pengalaman praktikal yang bernilai dan melengkapkan pembelajaran formal di sekolah. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Etika Sdn. Bhd. dan Goodday Milk atas komitmen berterusan dalam membangunkan potensi generasi masa depan.
Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, kandungan berkualiti mampu membentuk minda yang ingin tahu.
"Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Goodday KidSTART dalam menyemai pembelajaran, kreativiti dan pemikiran keusahawanan dalam kalangan kanak-kanak, serta membantu menyerlahkan potensi mereka.
"Astro berbangga bekerjasama dengan Goodday KidSTART dan menyokong program ini untuk terus berkembang dan menjangkau penonton yang lebih luas serta pelbagai, sambil mencipta impak yang lebih besar kepada kanak-kanak di seluruh Malaysia," jelasnya.
Selain tiga pemenang utama, bakat luar biasa turut diiktiraf melalui kategori anugerah berikut:
● Penyampai Terbaik (Atas 10 Tahun): Cinta Zandra Alayna Paul, 12 (Selangor)
● Penyampai Terbaik (10 Tahun dan ke Bawah): Chong Jo Ann, 9 (Kuala Lumpur)
● Anugerah Bintang Harapan: Muhammad Arish Aidan bin Mohd Hamzy, 12 (Selangor)
● Anugerah Impak Sosial Terbaik: Solomon Lim Tee Guan, 9 (Sarawak)
● Anugerah Idea Paling Inovatif: Lau Wai Liang, 12 (Selangor)
Goodday Milk turut menganugerahkan Anugerah Penyertaan Tertinggi kepada SJK(C) Yuk Chai, yang meraih RM10,000 selepas merekodkan lebih daripada 600 penyertaan, jumlah tertinggi dalam kalangan semua sekolah pada tahun ini.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Goodday KidSTART memberi tumpuan kepada pembinaan literasi kewangan, kreativiti, kemahiran komunikasi dan pemikiran keusahawanan dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun.
Dalam tempoh tiga tahun, program ini berkembang daripada cabaran idea berskala kecil kepada sebuah inisiatif nasional yang menggalakkan kanak-kanak mengenal pasti isu seharian dan mencipta penyelesaian yang relevan serta bermakna bagi dunia di sekeliling mereka.
Edisi tahun ini mencatat pencapaian paling memberangsangkan dengan lebih daripada 8,000 penyertaan, dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan jumlah tertinggi sejak program ini diperkenalkan.
Peningkatan ketara ini mengukuhkan kedudukan Goodday KidSTART sebagai platform penting dalam melahirkan generasi inovator muda yang yakin, berempati dan peka terhadap keperluan masyarakat.
Bagi edisi ketiga, Goodday KidSTART 3.0 mencipta kelainan apabila diperkenalkan sebagai siri televisyen peringkat nasional, beralih daripada format pembentangan tertutup sebelum ini.
Langkah ini memberi pendedahan lebih luas kepada para finalis serta membuka ruang untuk mereka menginspirasikan rakan sebaya di seluruh negara.
Antara penambahbaikan utama tahun ini ialah:
● Sebuah siri televisyen empat episod akan disiarkan di Astro Ria & Ceria.
● Pusingan cabaran imersif, seperti simulasi perniagaan di KidZania Kuala Lumpur
● Bimbingan mentor industri daripada Cradle, ASB dan usahawan berpengalaman
● Pembentangan serta penilaian dunia sebenar bagi memperkukuh keyakinan, komunikasi dan pemikiran kritikal