Sebuah gimnasium di China mencetuskan kontroversi selepas melancarkan cabaran pelangsingan badan yang menawarkan sebuah kereta mewah Porsche kepada peserta yang berjaya menurunkan berat sebanyak 50 kilogram dalam tempoh tiga bulan.
Cabaran itu, yang diumumkan oleh sebuah pusat kecergasan di Binzhou, wilayah Shandong pada 23 Oktober lalu, menarik perhatian besar dalam talian tetapi turut menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pakar perubatan.
Advertisement
Menurut laporan South China Morning Post, peserta perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak 10,000 yuan (RM6,720) yang merangkumi makanan dan penginapan di kem latihan tertutup dengan bilik kongsi.
Namun, butiran lanjut mengenai program latihan, pelan diet dan kaedah penilaian bagi mencapai sasaran penurunan berat masih tidak didedahkan.
Poster promosi gim itu menjanjikan hadiah berupa sebuah Porsche Panamera kepada sesiapa yang berjaya mencapai sasaran tersebut.
Model terkini kereta itu dijual pada harga permulaan sekitar 1.1 juta yuan (RM744,000) di tanah besar China.
Seorang jurulatih kecergasan bernama Wang mengesahkan kepada media tempatan bahawa cabaran itu benar-benar wujud dan kini sedang berlangsung, dengan kira-kira tujuh hingga lapan orang telah mendaftar.
Wang turut menjelaskan bahawa Porsche yang dijanjikan bukanlah kereta baharu, tetapi milik peribadi pemilik gim berkenaan iaitu model tahun 2020 yang telah digunakan beberapa tahun.
Walaupun menarik minat ramai, pakar kesihatan memberi amaran bahawa penurunan berat badan secara mendadak boleh membawa risiko kesihatan yang serius.
Seorang pakar perubatan popular di media sosial, dikenali sebagai “Dr Zeng”, menegaskan bahawa kehilangan 0.5 kilogram sehari adalah kadar yang terlalu cepat dan tidak sihat.
“Jika tidak mengalami obesiti teruk, kadar sebegini boleh menyebabkan kehilangan otot, ketidakseimbangan hormon, keguguran rambut dan gangguan haid bagi wanita. Kadar yang selamat ialah sekitar 0.5 kilogram seminggu,” katanya.
Pakar bedah gastrointestinal dari Hospital Rakyat Wilayah Shaanxi, Pu Yansong, turut memberi amaran bahawa penurunan berat badan terlalu pantas boleh memberi tekanan berlebihan kepada organ dalaman dan berpotensi mengancam nyawa.
“Proses pelangsingan yang saintifik perlu dilakukan secara berperingkat agar otak, otot dan organ dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tenaga,” ujarnya.
Cabaran tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial China, dengan ramai menganggapnya sebagai strategi pemasaran yang licik.
Cabaran ekstrem itu kini menjadi perbualan hangat di platform Weibo dan Douyin, dengan ramai mendesak pihak berkuasa kesihatan untuk memantau promosi kecergasan yang boleh membahayakan nyawa. 
Sumber: Sinar Harian
 
     
 
                                       
                                       
                                       
                                      