Seorang lelaki di Mojokerto, Indonesia, tergamak hidup sebilik bersama mayat teman wanitanya yang dikerat-kerat hampir seminggu sebelum ditahan polis dalam serbuan mengejut baru-baru ini.
Suspek, Alvi Maulana, 24, bukan sahaja membunuh kekasihnya, Tiara Angelina Saraswati, 25, tetapi turut memotong jasad mangsa kepada ratusan bahagian.
Advertisement
Lebih mengerikan, sebahagian potongan daging disimpan dalam almari manakala 247 cebisan tulang serta 22 batang gigi dibuang ke dalam tong sampah. Ada juga bahagian tubuh ditanam berhampiran rumah sewa mereka.
Ketua Polis Daerah Mojokerto, Asisten Komisioner Ihram Kustarto berkata, sebahagian jasad Tiara ditemui masih tersimpan di dalam bilik sewa ketika pemeriksaan dijalankan. “Suspek tinggal di bilik sama sejak kejadian dan berkelakuan seperti biasa sehingga kami berjaya menahannya,” katanya pada sidang media Isnin lalu.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 31 Ogos selepas pertengkaran tercetus apabila Tiara mengunci pintu bilik sewa kerana marah dengan suspek yang pulang lewat. Alvi kemudian hilang kawalan dan menikam leher kanan mangsa dengan pisau dapur sebelum mengerat mayat menggunakan pisau daging, gunting dahan dan tukul di bilik mandi.
Potongan daging dibuang di kawasan Pacet-Cangar, Mojokerto, manakala sebahagian tulang disorok di dalam beg plastik hitam di almari. Kes terbongkar apabila seorang penduduk menemui cebisan kaki pada 6 September ketika mencari rumput. Penemuan itu membawa kepada jumpaan potongan tapak tangan dan seterusnya pengesahan identiti mangsa dengan bantuan anjing pengesan.
Polis akhirnya menahan suspek pada awal pagi 7 September ketika dia bersantai di bilik sewanya. Pemeriksaan lanjut menemukan lebih banyak bahagian tubuh mangsa yang masih disimpan.
Menurut laporan antarabangsa, Alvi kemudian mengaku kesal dengan perbuatannya dan memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana gagal mengawal emosi hingga meragut nyawa Tiara. Namun pihak polis menegaskan siasatan terperinci tetap diteruskan bagi menegakkan keadilan.
Kini, Alvi ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Mojokerto dan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat serta Seksyen 338 kerana membunuh tanpa niat. Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhkan hukuman mati. - Agensi