Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Shy8, meluahkan rasa kurang senang terhadap komen juri Hetty Koes Endang mengenai cara nyanyiannya yang dikatakan meniru gaya penyanyi legenda, Broery Marantika.
Shy8 atau nama sebenarnya, Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail menegaskan bahawa dia tidak meniru sesiapa dan selesa dengan gaya nyanyiannya sendiri di pentas berprestij itu.
Advertisement
"Saya bukan cikgu vokal, saya ada jiwa dan cara saya sendiri. Saya bukan guna suara Broery. Saya bukan tiru dia. Saya tak cakap pun saya minat dia. Bonda yang sebut nama Broery. Saya cuba elak lagu Broery sebab saya adalah penyanyi lelaki dengan note rendah.
"Saya boleh terima lagi jika dia komen dari segi teknikal intonasi tapi saya tak boleh bila dia suruh saya ubah vokal saya hanya dalam beberapa minggu," katanya kepada Gempak.
Shy8 yang dikenali sebagai Usop Wilcha menerusi filem Hantu Kak Limah itu berkata permintaan Hetty untuk mengubah gaya nyanyiannya dalam masa singkat adalah mustahil memandangkan dia sudah lama tidak aktif menyanyi dan tahu kemampuan dirinya.
"Saya lagi sanggup berhenti sebab itu cara saya menyanyi. Dah 30 tahun sebati dengan cara ini. Semua orang ada cara yang tersendiri. Kalau bonda suruh saya jadi Broery dalam masa beberapa minggu memang mustahil.
"Saya dah lama tak menyanyi dan belajar vokal. Saya tahu kemampuan suara saya. Kalau saya teruskan memang akan flat. Macam mana bonda boleh buat andaian yang saya meniru Broery," ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 60 tahun itu tetap terbuka untuk memperbaiki nyanyiannya, namun tidak berjanji akan mengubah dirinya semata-mata untuk memenuhi pandangan orang lain.
"Apa yang saya boleh lakukan cuma bermain dengan lirik dan lenggokan. Kita akan tengok kat mana saya boleh cari titik tengah dalam isu ini tetapi saya tak boleh janji untuk ubah diri saya kerana ia ibarat saya gantung diri," tambahnya.
Selain Shy8, 12 lagi bintang Gegar Vaganza musim ini adalah Mell Sakura, Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra dan Freshies (Ejie dan Shima).
Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma.
Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini juga masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.
Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Gegar Vaganza V12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).