Chef selebriti, Fazley Yaakob mengimbau kembali pengalaman peribadinya berdepan pantang larang di dalam industri hiburan ketika suatu masa dulu.
Fazley mendedahkan bahawa fesyen artis lelaki sangat terbatas berbanding wanita kerana mereka tertumpu pada warna gelap dan penampilan maskulin.
Advertisement
“Saya ingat lagi ada satu sesi fotografi untuk jadi penghias kulit majalah yang ternama, saya sepatutnya pakai baju warna merah jambu sebab mahu ikut konsep dan tema majalah tersebut.
“Tapi wakil syarikat pengurusan saya halang tak bagi pakai baju merah jambu. Sama juga dengan kejadian agensi model mahu saya berbaju merah jambu, juga dihalang. Hari ini, konotasi terhadap warna-warna terang sudah berubah.
“Sekarang, lelaki yang pakai merah jambu dilihat sebagai seseorang yang berkeyakinan tinggi, bukan lagi lemah. Perubahan itu datang bersama pemahaman dan peredaran fesyen,” katanya ketika ditemui Gempak.
Fazley ditemui di majlis pelancaran kempen penjagaan diri BMF x Svenson bertajuk ‘Still Me With More’ bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia di Intermark Mall pada Khamis lalu.
Dalam masa sama, Fazley turut berkata artis lelaki juga dilarang mewarnakan rambut atau memakai aksesori seperti gelang.
“Dulu, waktu awal-awal jadi artis, saya ingat lagi banyak perkara yang kami tak boleh lakukan. Saya tidak boleh pakai aksesori sebab lelaki.
“Saya tidak boleh pakai warna mencolok atau yang disifatkan feminin seperti merah jambu sebab saya adalah lelaki. Artis lelaki nampak sangat membosankan.
“Dahulu mereka akan minta saya pakai minyak wangi sampai ‘sebakul’. Rambut pula hari-hari kena letak gel untuk nampak basah berkilat,” ujarnya.
Bagaimanapun, Fazley berkata dunia kini lebih terbuka dalam menerima perubahan fesyen golongan lelaki kerana perlu mengikuti perkembangan semasa.
“Makin lama dunia fesyen pun berubah. Jadi pihak pengurusan perlu akur dan ikut peredaran fesyen.
“Daripada perlu pakai minyak wangi sebanyak mungkin, kini saya hanya perlu sembur di pergelangan tangan sahaja. Sama juga dengan rambut, daripada asyik nak nampak basah, saya hanya perlu guna ‘spray’ ringkas sahaja.
“Di Korea, Jepun, Hong Kong, Bollywood, dan Hollywood, artis lelaki juga memakai solekan dan melakukan rawatan wajah. Masyarakat kita suka dan terima dengan baik.
“Artis lelaki kita tidaklah sampai bersolek, tapi kenapa penerimaan kita tak sama. Jadi tidak wajar artis luar dan artis kita dibezakan,” tambahnya.