Sekilas
- Fasha Sandha mempertahankan Firdaus Karim yang dikritik tidak sesuai jadi hero dan puji bakatnya dalam menjayakan watak tersebut.
- Fasha tegaskan pemilihan pelakon sudah diteliti pihak produksi dan rupa paras penting tapi bakat boleh diasah dengan usaha.
- Fasha kini dilantik sebagai Duta Mustajab sambil Dunia Herbs lancarkan losyen Mustajab Mini Sauna dengan pelbagai pilihan wangian eksklusif.
Pelakon, Fasha Sandha tampil mempertahankan rakan sekerjanya iaitu Firdaus Karim yang dikritik kerana tidak sesuai memegang watak sebagai hero.
Aktres drama Natasha itu berkata bahawa Firdaus telah melakukan yang terbaik dalam menjayakan watak tersebut dan akui bahawa dia merupakan pelakon yang berbakat.
Katanya lagi, orang ramai seharusnya tidak patut mempersoalkan pemilihan pelakon dalam sesebuah naskhah kerana beranggapan pihak produksi telah menelitinya terlebih dahulu.
"Saya rasa tak wajar untuk persoalkan pemilihan sebagai hero kerana saya percaya dia berbakat dan telah buat yang terbaik. Pada saya dia dah menepati skrip tersebut," katanya kepada Gempak.
Fasha berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Produk Baharu serta Pelantikan Duta Mustajab di Sama-Sama Cuisine, Setapak pada Ahad.
Dalam masa sama, Fasha tidak menafikan bahawa rupa paras juga memberi kelebihan untuk bertahan dalam industri seni selain bakat yang boleh diasah.
"Setiap orang cantik dan kacak yang tersendiri. Ia subjektif. Rupa penting namun bakat boleh diasah.
"Saya pun bermula dengan kosong namun kesungguhan saya dan selalu berbaik serta sentiasa dapatkan nasihat daripada senior, saya akhirnya semakin bertambah baik," ujarnya.
Terdahulu, Firdaus menjadi perhatian ramai selepas didakwa tidak sesuai memegang watak utama dalam drama terbaharunya bersama Fasha kerana memiliki wajah yang kurang tampan.
Dalam perkembangan lain, Fasha turut tampil sebagai Duta Mustajab dan dipercayai bakal melonjakkan lagi jualan losyen Mustajab.
Selain itu, Dunia Herbs turut melancarkan produk terbaharu, losyen Mustajab Mini Sauna dengan pilihan wangian eksklusif seperti Quince & Tulip, Golden Oud, Blooming Peach dan Amouge bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan.
Inovasi itu bertujuan memastikan produk Mustajab kekal relevan di pasaran, khususnya di kalangan golongan muda, tanpa meninggalkan losyen klasik yang sudah lama dipercayai pengguna.