Sekilas
- Sharifah Sakinah memegang watak Emma dalam drama Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) yang menampilkan babak aksi dengan penggunaan bazooka dan teknologi AI.
- Pengarah Budakijat menjelaskan AI digunakan sebagai alat bantu kreatif untuk merealisasikan babak aksi dalam bajet terhad tanpa menggantikan peranan manusia.
- Drama 28 episod ini akan disiarkan setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam di Astro Ria serta boleh ditonton di Astro GO dan Sooka.
Pelakon, Sharifah Sakinah mencuri tumpuan apabila tampil memegang sebuah pelancar roket, iaitu bazooka yang diletakkan di atas bahu bagi memusnahkan pelbagai benda menerusi drama terbaharu iaitu Sujud Terakhir Encik Norman (STEN).
Menerusi babak teaser yang dikongsi di media sosial, Sharifah Sakinah yang memegang watak sebagai Emma dilihat berada dalam sebuah kenderaan, memecut dan mengejar sebuah pesawat yang dinaiki suaminya iaitu Norman (Aidil Aziz) dan Alisa (Trisha Ooi) sebelum melepaskan tembakan dari bazooka.
Mengulas mengenai babak tersebut, pengarahnya, Shahrul Ezad Mohammedin atau lebih dikenali sebagai Budakijat mendedahkan bahawa babak aksi tersebut menggunakan sentuhan kecerdasan buatan (AI)
Bagaimanapun, Budakijat menegaskan penggunaan AI bukan bermaksud karyawan kreatif sepertinya kehabisan idea sebaliknya menjadi lambang produksi yang berjalan seiring dengan perkembangan.
“Penonton akan menonton STEN disulam bersama babak dengan bantuan AI. Kita memasukkan elemen ini dalam drama atau karya kerana percaya sebagai karyawan kreatif, AI adalah sebahagian daripada ‘tools’ yang mampu merealisasikan idea kami dalam bajet yang terhad.
“Namun pada masa yang sama, ia bukan bermakna kami bergantung kepada AI untuk membikin karya kerana pada akhirnya, kami atau manusia adalah pemikir yang menggerakkan AI itu,” jelasnya.
Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) terbitan Radius One ini bakal bersiaran setiap Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza pukul 9 malam di Astro Ria
Drama 28 episod yang mengangkat teman keagamaan, hubungan kekeluargaan dan pengorbanan ini juga boleh ditonton menerusi penstriman di Astro GO dan Sooka.