Sekilas
- Pelakon Izara Aishah disahkan hamil anak ketiga menerusi pengumuman sebuah jenama tudung terkenal di Instagram.
- Kolaborasi Izara sebagai muse jenama itu menjadi lebih bermakna kerana beliau sedang menantikan kelahiran bayi baharu.
- Izara berkahwin dengan Adib Khalid sejak 2017 dan mempunyai dua cahaya mata perempuan berusia 6 dan 2 tahun.
Pelakon jelita, Izara Aishah disahkan sedang hamil anak ketiga.
Perkara itu diumumkan oleh sebuah jenama tudung terkenal menerusi hantaran di Instagram pada Ahad.
Kolaborasi tersebut menjadi lebih bermakna buat jenama berkenaan apabila Izara yang tampil sebagai muse ketika ini sedang menantikan kelahiran cahaya mata baharu.
"Izara sedang menantikan cahaya mata ketiga! Tahniah. Kolaborasi tahun ini sangat istimewa sebab kita dapat muse yang sedang hamil," tulisnya.
Bagaimanapun, tiada perkongsian lanjut mengenai usia kandungan serta jantina bayi.
Sekadar rekod, Izara atau Izara Aishah Hisham, 34, mendirikan rumah tangga dengan Adib Khalid pada 17 November 2017.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Irisa Alaia, 6, dan Amara Amina, 2 tahun.