Sekilas
- Pengarah Nizam Razak berkata sambutan filem Papa Zola akan tentukan sama ada watak sampingan seperti Ying, Yaya dan Gopal akan dapat filem khas.
- Filem Papa Zola disasarkan untuk semua peringkat umur dan diharap dapat mengatasi kutipan filem BoboiBoy dan Mechamato sebelum ini.
- Filem ini akan ditayangkan di Malaysia dan beberapa negara lain termasuk Indonesia, India, Arab Saudi, Kuwait dan Vietnam mulai 11 Disember ini.
Pengarah Papa Zola The Movie, Nizam Razak menjawab pertanyaan netizen tentang kemungkinan menghasilkan filem khas untuk watak sampingan seperti Ying, Yaya, Gopal dan lain-lain.
Menurut Nizam, semuanya bergantung pada sambutan filem Papa Zola. Jika prestasinya bagus, mereka akan mempertimbangkan projek untuk watak-watak lain, asalkan ada bahan cerita yang mencukupi.
“Sebelum ini, watak utama memang BoboiBoy dan Mechamato. Papa Zola pula watak sampingan. Jadi kita tengok dulu sambutan filem ini. Kalau bagus, saya tak janji ya atau tidak. Bergantung kepada sambutan dan kekuatan bahan watak. Papa Zola pun ada banyak bahan seperti dunia permainan digital dan operasi PAPA," katanya kepada Gempak.
Nizam berkongsi perkara demikian ketika menganjurkan acara Kebena-RUN 2025 di sekitar kawasan Kuala Lumpur pada Ahad.
Ditanya mengenai sasaran filem, Nizam berkata Papa Zola lebih terbuka kepada semua peringkat umur berbanding BoboiBoy dan Mechamato yang fokus kepada kanak-kanak dan remaja, namun dia berharap Papa Zola dapat mengatasi kutipan dua filem tersebut.
"Kami sasarkan filem ini lebih baik dari filem Boboboy dan Mechamato, namun susah untuk saya ungkapkan memandangkan animasi Boboboi serta Mechamato kebih kepada kanak-kanak dan remaja tetapi Papa Zola terbuka kepada orang ramai. Jadi kita mengharapkan lebih dari kutipan sebelum ini," ujarnya.
Niezam turut akui bahawa dia sedikit tertekan untuk menghasilkan karya seterusnya aitu BoboiBoy 3, namun filem Papa Zola berjaya mengurangkan rasa beban tersebut.
“BoboiBoy 3 memang beri tekanan sebab ramai peminat tunggu hasil terbaik. Namun, Papa Zola membantu hilangkan sedikit tekanan itu. Kalau terus buat BoboiBoy dan Mechamato tanpa selingan Papa Zola, tekanannya lebih tinggi. Kali ini kami tambah unsur kekeluargaan dan emosi supaya jalan penceritaannya lebih kuat," jelasnya.
Nizam turut berharap Papa Zola dapat menghiburkan peminat lama, terutama mereka yang membesar dengan BoboiBoy, dan membawa animasi tempatan ke lebih banyak negara.
"Kami mengharapkan filem ini dpaat menghiburkan seluruh keluarga terutama pada Genzola, iaitu mereka yang setia membesar bersama Boboboy sejak dahulu lagi. Saya harap dapat meraih kutipan yang sangat banyak di dalam mahupun luar negara. Kita juga bakal tayangkan di Indonesia, India, Arab Saudi, Kuwait dan Vietnam," tambahnya.
Sinopsis:
Filem ‘Papa Zola The Movie’ mengisahkan Papa Zola, seorang guru sekolah dan anak perempuannya yang berbakat, Pipi dalam menjalani pengembaraan kecil yang semakin meningkat dan mencabar.
Eksperimen mereka mempamerkan hubungan kasih sayang mereka dan kecerdasan Pipi, sambil mereka mengharungi situasi aneh bersama-sama.
Jangan lupa untuk saksikan tayangan penuh filem ‘Papa Zola The Movie’ pada 11 Disember ini di pawagam berhampiran anda.