Sekilas
- Eric Fuzi dari Floor 88 berkongsi bahawa baki akaunnya tinggal RM125.65 manakala jumlah hutang yang belum dibayar mencecah RM51,000.
- Dia sering menerima pelbagai alasan daripada pihak yang berhutang dan terpaksa menjalani 'diet' sambil berharap urusannya dipermudahkan.
- Netizen memberi sokongan dan doa agar urusan kewangan Eric dipermudahkan dan orang yang berhutang membayar walaupun sedikit demi sedikit.
Pelakon yang juga anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi mencuri perhatian netizen selepas mendedahkan keadaan kewangannya yang terkini.
Menerusi perkongsian di Threads, Eric berkata bahawa bahawa baki akaunnya kini hanya tinggal RM125.65, manakala jumlah keseluruhan orang yang berhutang dengannya mencecah RM51,000.
"Jumlah baki orang hutang kita ialah RM51,000 tetapi duit dalam akaun bank hanya tinggal RM125.65," tulisnya.
Eric atau nama lengkapnya Muhamed Eric Muhamed Fuzi mendedahkan bahawa dia sering menerima pelbagai alasan daripada pihak yang berhutang.
"Bayaran seterusnya pula penuh dengan alasan seperti akan membuat pembayaran pada minggu hadapan, sedang dalam proses, akan beritahu pada belah malam, hanya lihat dan palau (seen) serta ada yang tidak angkat panggilan," ujarnya.
Disebabkan situasi tu, pelakon filem Budak Lapok ini turut berkata dia perlu menjalani “diet” pada minggu ini sambil berdoa agar urusannya dipermudahkan.
"Minggu ini automatik diet. Ya Allah permudahkanlah segala urusan hambamu yang kecil ini walaupun berbadan besar," jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitip doa agar urusan kewangan Eric dipermudahkan dan orang yang berhutang dilembutkan hati untuk membayar.
"Semoga dipermudahkan urusan. Insyaallah 2026 dilimpahkan rezeki yang tidak disangka.
"Amin. Semoga hati orang yang hutang itu lembut dan bayar walaupun sikit demi sedikit.
"Moga dipermudahkan segala urusan.
"Semoga dimurahkan rezeki selalu dna dipermudahkan segala urusan," komen netizen.
Terdahulu, Eric pernah meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa ada beberapa pihak culas melunaskan hutangnya sekitar September lalu.
Bagaimanapun menurutnya, beberapa individu akhirnya mula tampil untuk melangsaikan hutang tersebut dan pembayaran telah diselesaikan secara berperingkat.