Sekilas
- Janna Nick menegaskan artis hanyalah pekerjaan biasa dan tidak perlu dilayan secara berlebihan.
- Layanan yang diterima oleh seseorang bergantung pada cara mereka melayan orang lain.
- Janna menasihatkan supaya tidak mengharapkan layanan istimewa dan mengamalkan sikap saling menghormati tanpa mengira status.
Pelakon Janna Nick tampil bersuara mengenai persepsi masyarakat terhadap golongan artis serta isu layanan berbeza yang sering diberikan kepada selebriti.
Menerusi perkongsian di Threads, Janna menegaskan bahawa kerjaya sebagai artis hanyalah satu pekerjaan dan sama sahaja seperti individu lain.
"Artis itu hanya pekerjaan sahaja. Sama seperti manusia biasa. Pakailah wangi macam mana, kentut tetap akan berbau busuk juga. Mati pun balut kain kafan juga. Jadi tak perlulah nak layan terlalu berlebihan,"tulisnya.
Pelakon drama Syurga Nur itu turut menjelaskan bahawa layanan yang diberikan kepada seseorang selalunya akan dibalas mengikut cara kita melayan mereka.
"Misalnya, kalau awak beri layanan baik kepada pekerja khidmat pelanggan dan artis, pasti mereka akan melayani awak dengan baik. Tetapi kalau awak baran dengan mereka, pastilah mereka akan buat perkara yang sama,"ujarnya.
Dalam masa sama, Janna menasihatkan orang ramai agar tidak mengharapkan layanan istimewa atau berlebihan daripada sesiapa, sebaliknya mengamalkan sikap saling menghormati tanpa mengira status.
"Kita tak boleh harap layanan yang lebih-lebih pun. Jadi janggal kalau awak nak terlalu sangat perhatian. Double standard semua tidak perlu!," jelasnya.