Pelakon, Anna Jobling meluahkan hasrat untuk membintangi naskhah aksi kerana ingin mencabar dirinya dengan watak berbeza daripada kebiasaan.
Menurut Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling, dia tidak teragak-agak untuk melakukan sendiri aksi lagak ngeri demi menyempurnakan watak tersebut.
Advertisement
"Babak aksi! Tidak ada sesiapa nak buat naskhah aksi dengan saya ke. Saya sanggup buat 'stunt' semua tau," katanya.
Anna berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen perkahwinan Tomei di IOI Putrajaya, pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Anna mendedahkan dia bakal berangkat ke Jakarta pada Isnin untuk menghadiri tayangan perdana filem Sukma arahan Baim Wong yang sebelum ini ditunda susulan krisis di negara tersebut.
“Lusa saya akan terbang ke Jakarta, Indonesia kerana ada tayangan perdana untuk filem 'Sukma'. Pengarahnya adalah, Baim Wong, saya akan bersama dengan Christine Hakim, Luna Maya dan ramai lagi pelakon lain.
"Selepas itu, saya akan pulang kembali ke Malaysia dan mungkin akan datang ada projek terbaru di sana lagi, namun masih dalam perancangan,” ujarnya.
Terdahulu, tayangan perdana filem Sukma di Jakarta yang sepatutnya berlangsung pada 3 September lalu terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Sebelum ini, Anna lebih sinonim dengan watak-watak lembut dalam drama romantik, termasuk membawakan karakter wanita ‘penyondol’ dalam drama yang baru sahaja habis ditayangkan iaitu 'Setia Itu Mahal'.