Pelakon dan aktivis terkenal Hollywood, Angelina Jolie berkongsi pendapat peribadi mengenai perdebatan berhubung kebebasan bersuara yang sedang hangat diperkatakan di Amerika Syarikat (AS) ketika ini.
Bercakap pada sebuah festival filem di Sepanyol hujung minggu lalu, pemenang Oscar itu ditanya: “Apakah yang paling anda takutkan sebagai seorang artis dan sebagai rakyat Amerika?”
Advertisement
“Soalan itu sangat sukar,” jawab Jolie, menurut laporan The Guardian.
“Saya cintakan negara saya, tetapi ketika ini, saya tidak mengenali negara saya,” katanya.
“Sejak dulu saya hidup dalam suasana antarabangsa - keluarga saya, rakan-rakan dan kehidupan saya semuanya bersifat global.
“Pandangan dunia saya ialah kesamarataan, penyatuan dan berteraskan nilai antarabangsa. Apa-apa jua yang memecahbelahkan atau menyekat kebebasan serta ekspresi individu di mana-mana sahaja, pada saya sangat berbahaya," tambahnya.
Jolie turut mengingatkan bahawa situasi dunia sekarang menuntut masyarakat lebih berhati-hati.
“Ini adalah zaman yang serius, kita tidak boleh berkata-kata secara sambil lewa. Kita sedang hidup dalam era yang sangat berat bersama-sama,” katanya.
Kenyataan Jolie hadir selepas rancangan bual bicara larut malam Jimmy Kimmel Live! digantung tayangan secara “tidak tentu tempoh” oleh ABC susulan kontroversi komen hos tersebut berhubung reaksi terhadap kematian Charlie Kirk.
Jolie berada di festival berkenaan bagi mempersembahkan filem terbaharunya berjudul Couture.
Sumber: Astro AWANI