Ringkasan AI
- Filem aksi tempatan terbaru, Banduan, diadaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi (2019).
- Penerbit Kalyana Devan mendapat persetujuan penerbit asal Kaithi untuk menghasilkan versi Melayu.
- Penerbit Kreatif Thanendran Thanesvaran yakin Banduan akan menarik minat penonton Malaysia dengan jalan cerita unik.
- Banduan menggabungkan babak aksi dan emosi untuk memberi impak lebih mendalam kepada penonton.
- Filem arahan Kroll Azry ini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 6 November dengan barisan pelakon hebat.
Filem pecah panggung India, Kaithi yang mencetus fenomena pada tahun 2019 menjadi inspirasi dan adaptasi kepada filem aksi tempatan terbaru berjudul Banduan.
Penerbit Banduan, Kalyana Devan berkata idea membuat filem berkenaan dalam versi Melayu tercetus selepas dia menonton filem asal itu.
“Filem Kaithi ditayangkan pada 2019 dan masa tu saya cakap, filem aksi hebat ni patut ada versi Melayu. Saya jumpa penerbit asal dan bentangkan idea saya. Dia setuju dan puji idea tu,” katanya.
Penerbit Kreatif, Thanendran Thanesvaran pula yakin Banduan akan menarik perhatian penonton tempatan kerana jalan ceritanya yang berbeza dari filem asal.
"Untuk membawa jalan cerita ini ke India yang kita tahu sangat popular, saya merasakan yang rakyat Malaysia akan hargai karya ini. Saya rasa orang Malaysia pun tidak pernah lihat gambar dengan jalan cerita seperti ini," ujarnya.
Seorang lagi penerbit, Kathiravan R berkata mereka cuba menyeimbangkan babak aksi dan emosi supaya ia memberi impak kepada penonton.
“Aksi akan nampak kosong tanpa emosi. Kami cuba sebaiknya untuk seimbangkan aksi dan emosi,” katanya.
Banduan terbitan Number Twenty One Media mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 6 November.
Filem arahan Kroll Azry ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.