Skip to main content

Viral

Lagu Laris...Kolaborasi Yonnyboii, Zynakal & Asyraf Nasir Berjaya!

untitled-design-2021-10-25t174357-648.png
Dilancarkan  lebih  sebulan  lalu,  lagu Tak Sangka nyanyian  tiga  bakat  rap  muda,  Yonnyboii, Zynakal,  dan Asyraf Nasir  mencipta  sejarah tersendiri  dalam  radar  muzik  tempatan.

Lagu  terbitan  Def  Jam  Malaysia  berkenaan  unggul  di tempat  pertama carta berprestij  Carta  Persatuan Industri  Rakaman  Malaysia  atau  Carta  RIM selama enam minggu berturut-turut.

Menjadi  platform  pengumpul  data  terkemuka  tempatan,  Carta  RIM  menjadi medan  penentu kelarisan sesebuah  lagu  itu  dalam  kalangan  pendengar. Kredibilitinya  cukup  terbukti  dan hakikatnya  ia  menjadi rujukan  semua penggiat  muzik  bagi  mengetahui  sejauh  mana  prestasi terkini karya mereka.

Justeru,  pencapaian tersebut semestinya  cukup  membanggakan  Def  Jam  Malaysia serta Def Jam Asia Tenggara (SEA) apabila karya segar itu diiktiraf dan memberi impak tersendiri. Apalagi, lagu itu dicipta tiga penyanyinya sendiri yang rata-rata muda remaja. Paduan idea mereka benar-benar berhasil sekaligus memukau pendengar.

Menurut  Pengarah  A&R  &  Pemasaran  dan  Ketua  Def  Jam  Recordings Malaysia, Hermond Cheng, pencapaian itu cukup besar maknanya buat mereka.

“Kami  memang  tahu  betapa  berbakat  dan  besar  potensi  tiga  penyanyi muda  itu  dalam membawakan angin  segar  dalam  industri  muzik. Tak Sangka juga  antara  karya  yang  kami sangat  yakini  mampu  cipta evolusi. Jelas  ia  terbukti  dengan  pencapaian  terbaru  itu  dan semestinya dalam pada tidak jangka, kami sangat bangga mengenainya,” katanya.

Selaku  Pengarah  Urusan  Def  Jam  SEA,  Joe  Flizzow  menyifatkan kejayaan  itu  menjadi  alibi betapa muzik  hip  hop  tempatan  kian  tinggi  martabatnya. Sebagai  pejuang  genre  itu  selama beberapa dekad, Joe turut memuji sifat berani pejuang hip hop generasi kini dalam memastikan karya mereka memiliki nilai estetika berkualiti.

“Bagi saya kejayaan lagu ini membuktikan bahawa generasi baru pemuzik hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam penghasilan karya mereka. Ia juga menunjukkan bahawa peminat dan pendengar di negara ini amat menghargai lagu-lagu rap tempatan. Syabas kepada Yonnyboii, ZynAkal dan Asyraf,” katanya.

Berkongsi pencapaian manis itu, Yonnyboii mengakui kerja-keras mereka untuk merealisasikan lagu  itu sebelum  ini  ternyata  sangat  berbaloi.  Mana  tidak,  mereka  sendiri  berdepan  pelbagai dugaan  demi memastikan ia dapat dilancarkan.  Dia  juga  sangat  bersyukur gabungan mereka bertiga terbukti keputusan paling tepat.

“Sejujurnya kami bertiga memang tak sangka tapi pada masa sama memiliki keyakinan yang cukup  tinggi terhadap  lagu Tak Sangka selama  ini.  Persiapan  yang  kami  buat  pun  bukan calang-calang. Walaupun banyak perancangan kena tunda disebabkan Covid-19, alhamdulillah kami dapat melancarkannya pada masa yang sangat tepat.

“Lagu ini cukup istimewa untuk saya dan pasukan sendiri disebabkan ia kolaborasi pertama kami bertiga.  Apabila  dapat  bekerjasama  dengan  rakan baik  dan  adik-beradik  satu  label  rakaman, keterujaan itu lebih luar biasa. Dengan kekuatan masing-masing menjadikan lagu itu jadi lebih gah dari segi bunyi dan susunannya,” katanya.

Bagi  ZynAkal  pula,  dia  menyifatkan  projek  itu  memberi  seribu satu  makna  buatnya  secara  peribadi. Bukan  sekadar  meraikan  pencapaian  sambutan  luar  biasa  itu,  namun  dia  akui  prosesnya mengajar  dia banyak  perkara.  Apalagi, dia  sendiri  baharu  pertama  kali  bekerjasama  dengan Asyraf.

“Alhamdulillah kami bertiga tak sangka yang lagu ini akan memberi impak kepada kami dan bersetuju   bahawa ia banyak   membantu   kami.   Pencapaian ini   disebabkan keserasian kukuh  antara  kami.  Sewaktu  proses pembikinannya,  itulah  kali  pertama  saya berjumpa Asyraf dan terus boleh bekerjasama dengan begitu padu,” katanya.

Menurut  Asyraf  pula,  dia  berharap lagu berkenaan bakal menjadi ‘trademark’ atau ‘signature’ untuk  tahun  ini sebagai  lagu  semangat.  Baik  pendengar  hip  hop  tegar  ataupun  dari  pelbagai lapisan usia lain kerana lagu ini untuk semua. Menurutnya, dia teringin melihat lagu ini ke acara anugerah dan pentas lebih besar jika ada rezeki.

“Bagi saya, ia (kekuatan) terletak pada  ramuan-ramuan  dalam  lagu  ini  sebab  Yonnyboii  dan ZynAkal sendiri ada stail berbeza, begitu juga saya. Walaupun terdapat perbezaan, kami bertiga ada suara hati yang sama. Itu adalah antara kekuatan utama selain irama muziknya adalah bukan irama hip hop yang klise.

“Pendengar menilai Tak Sangka sebagai sebuah lagu yang memiliki muzik bagus dan bukan sebab  genrenya.  Mereka  bukan  melihat  apa  instrumen  yang  digabungkan  dalam  melodinya mahupun  hasil  ciptaan  siapa.  Apabila  mereka  mendengarnya,  terus  rasa  ingin bergoyang  dan menikmatinya dengan penuh keseronokan,” katanya.

Setakat artikel ini ditulis, jumlah tontonan muzik video rasmi Tak Sangka di YouTube telah mencecah sekitar 4.4 juta.

Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klink banner di bawah untuk mengundi!

Advertisement

Must-Watch Video