Sekilas
- Talentbank umum senarai pemenang Graduates’ Choice Award (GCA) 2026 berdasarkan lebih 740,000 undian pelajar dari lebih 100 universiti seluruh Malaysia.
- GCA menilai majikan pilihan graduan melalui lima aspek utama termasuk peluang kerjaya, keseimbangan kerja-hidup, ganjaran, dan reputasi syarikat.
- Undian untuk GCA 2027 kini dibuka, membolehkan pelajar terus memilih majikan yang selari dengan aspirasi dan nilai mereka.
Peneraju utama dalam bidang kebolehpasaran graduan di Malaysia, Talentbank secara rasmi mengumumkan senarai pemenang Graduates’ Choice Award (GCA) 2026.
Anugerah ini merupakan salah satu pengiktirafan kepada para majikan yang menjadi pilihan dalam kalangan graduan di Malaysia.
Memasuki tahun kelapan penganjurannya, GCA kekal sebagai penanda aras majikan terbesar yang dipacu sepenuhnya oleh suara pelajar.
Bagi edisi 2026, lebih 740,000 undian terkumpul telah direkodkan melibatkan pelajar daripada lebih 100 universiti di seluruh negara.
Berbeza dengan anugerah lain yang dinilai oleh panel juri, GCA digerakkan sepenuhnya oleh pandangan pelajar, sekaligus memberi gambaran sebenar tentang bagaimana tenaga kerja masa hadapan menilai peluang kerjaya.
Bagi memastikan ketepatan dan relevansi kajian, instrumen tinjauan akan disemak setiap dua tahun melalui program Graduate Employability Bootcamp bersama pihak pembuat dasar.
Pemenang GCA 2026 merangkumi organisasi terbaik daripada pelbagai sektor utama seperti:
- Perkhidmatan kewangan
- Teknologi
- FMCG
- Penjagaan kesihatan
- Telekomunikasi
- Tenaga
- Perkhidmatan profesional
- Platform digital
Pemilihan dibuat berdasarkan penilaian pelajar terhadap lima aspek utama, iaitu:
- Peluang perkembangan kerjaya
- Skop kerja dan tanggungjawab
- Keseimbangan kerja dan kehidupan
- Ganjaran serta faedah
- Reputasi syarikat
Keputusan ini mencerminkan keutamaan generasi muda yang semakin menitikberatkan pembangunan jangka panjang, pekerjaan bermakna serta kredibiliti organisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho berkata, keputusan tahun ini memberikan gambaran jelas terhadap persepsi sebenar pelajar universiti di Malaysia.
“Dengan lebih 740,000 undian di seluruh negara, pemenang 2026 mencerminkan organisasi yang benar-benar mendapat kepercayaan dan keyakinan pelajar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam landskap bakat yang semakin kompetitif, memahami kehendak graduan bukan lagi satu pilihan, malah menjadi satu keperluan.
“Majikan yang selari dengan keutamaan graduan hari ini akan mempunyai kelebihan dalam membina bakat masa depan,” tambahnya.
Kejayaan organisasi dalam GCA bukan sahaja mencerminkan kekuatan jenama majikan, malah menjadi kelebihan strategik dalam menarik bakat baharu, khususnya dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Bagi pelajar pula, GCA menjadi rujukan penting dalam membuat keputusan kerjaya, sekali gus membantu mereka mengenal pasti majikan yang selari dengan aspirasi dan nilai diri.
Seiring dengan pengumuman pemenang 2026, undian bagi Graduates’ Choice Award 2027 kini telah dibuka kepada pelajar universiti di seluruh negara untuk menentukan kedudukan majikan pilihan bagi tahun hadapan.


Mengenai Talentbank
Talentbank merupakan peneraju utama dalam bidang kebolehpasaran graduan dan penanda aras majikan di Malaysia.
Melalui kerjasama strategik dengan universiti, rakan industri serta Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Talentbank terus memacu penggunaan data bagi memperkukuh daya saing tenaga kerja negara dalam jangka panjang.