Sekilas
- Adira Suhaimi bersyukur Anggrek masih diberi peluang beraksi di pentas Talk To My Manager 2 selepas menerima imuniti Golden Card daripada juri.
- Walaupun sering berada di kedudukan tiga terendah, Adira berjanji akan memperbaiki dan menambah baik persembahan Anggrek pada minggu-minggu akan datang.
- Adira percaya keputusan hampir tersingkir bukan kerana persembahan Anggrek kurang baik, tetapi persaingan sengit antara peserta lain turut mempengaruhi hasil pertandingan.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Adira Suhaimi meluahkan rasa syulur apabila Anggrek masih diberi peluang untuk beraksi di pentas besar itu.
Jelas Adira, penggunaan imuniti menerusi 'Golden Card' merupakan hak mutlak juri dan dia percaya
Anggrek memiliki keistimewaan tersendiri sehingga layak diberikan peluang kedua dalam pertandingan itu.
“Mengenai Golden Card atau imuniti yang diterima Anggrek, sebenarnya hanya juri yang boleh komen sebab saya tiada jawapan tetapi sangat menghargainya.
“Saya percaya mungkin ada sesuatu yang dimiliki Anggrek sehingga juri menggunakan imuniti tersebut. Kami akan beri sedaya upaya cuma tak mahu berjanji apa-apa selain terus buat yang terbaik selepas ini,” katanya kepada Gempak.
Adira turut mengakui situasi berada dalam kelompok peserta tercorot bukanlah perkara baharu buat dirinya dan Anggrek sepanjang pertandingan berlangsung.
Bagaimanapun, sebagai pengurus kepada Anggrek, Adira berjanji akan memperbaiki dan menambah baik lagi persembahan anaknya.
“Sebenarnya saya dan Anggrek sudah biasa berada di kedudukan tiga terendah. Berada di kedudukan pertama pun baru sekali, selebihnya di mana? Kami selalu berada di tempat tiga terakhir.
“Namun saya tetap rasa bersyukur sebab masih lagi diberi peluang dan ruang untuk Anggrek terus beraksi di pentas TTMM.
“Insya-Allah kami akan gunakan peluang dan ruang ini untuk memperbaiki serta menambah baik lagi persembahan Anggrek pada minggu hadapan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kedudukan minggu ketujuh, Adira menegaskan perkara itu bukan bermakna Anggrek gagal memberikan persembahan yang baik.
Sebaliknya, persaingan yang sengit dalam kalangan peserta lain turut menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan pertandingan.
“Saya tak boleh mempertikaikan mengenai penyingkiran kami tetapi percaya Anggrek sudah buat yang terbaik semalam. Kami dah berusaha beri yang terbaik dan menjalani latihan secukupnya sepanjang minggu.
“Hampir tersingkir ini bukan sebab Anggrek buat tak bagus, tetapi Adira percaya ramai lagi peserta lain yang turut memberikan persembahan lebih baik. Berbalik kepada rezeki, Adira percaya kalau rezeki itu ada, adalah.
“Anggrek juga mungkin masih ada perkara yang ingin ditunjukkan. Sejak awal sebelum masuk TTMM2 lagi saya sudah beritahu Anggrek mengenai soal penyingkiran serta menang dan kalah. Itu semua adat pertandingan,” katanya lagi.
Terdahulu, Anggrek dan Adira berjaya mengelakkan penyingkiran apabila barisan juri tetap membuat keputusan menggunakan Golden Card untuk menyelamatkan mereka daripada tersingkir pada minggu tersebut.