Skip to main content

Hiburan

Konspirasi Henti Tayangan, Sarimah Ibrahim Menanti Jawapan - “Sampai Hari Ini Kita Menunggu…”

Astrogempak SARIMAH

Sekilas

  • Che Puan Sarimah Ibrahim kecewa kerana tiada penjelasan jelas dari penerbit dan FINAS mengenai penarikan tayangan filem Konspirasi sejak 28 Mei lalu.
  • Elepfilm Entertainment menjelaskan keputusan hentikan tayangan dibuat atas pertimbangan dalaman syarikat dan bukan strategi publisiti, manakala tayangan di Singapura dan negara lain tidak terjejas.
  • Sarimah berharap dapat jawapan sebenar kerana dia sudah gigih mempromosikan filem tersebut dan mahu penonton di Malaysia berpeluang menonton karya itu.

Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim mengakui kecewa apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penerbit, Elepfilm Entertainment dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) seolah-olah tergantung dan tidak menjelaskan punca sebenar penarikan tayangan filem Konspirasi di pawagam.

Menurut Sarimah, dia masih menanti jawapan sebenar dari pihak penerbitan filem  yang dihentikan tayangannya pada 28 Mei lalu.

“Kita sudah dengar kenyataan dari pihak FINAS dan penerbit, tapi kenyataannya tidak menjawab soalan. Adakah kerana nama filem ini Konspirasi?

“Jadi sudah tentu saya kecewa, ia ibarat kita buat ‘assignment’, kita serahkan ‘assignment’ itu kemudian cikgu tak nak beri markah,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tambah Sarimah, dia mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan yang lebih baik daripada pihak penerbitan. 
“Bila Konspirasi dihentikan tayangan, saya tertanya-tanya. Saya cuma nak tahu, kenapa? Sebab saya menjayakan promosi dan sebagainya dan bila saya dapat tahu tayangan Konspirasi dihentikan, saya bertanya-tanya kenapa.

“Kita belum dapat jawapan dari persoalan itu. Ada yang suruh tanya produser sendiri dan kita dah tanya tapi tetap tak dapat jawapan. Kenapa Singapura, ia masih ditayangkan. Jadi hanya produser saja boleh menjawab.

“Sampai hari ini kita menunggu jawapan dari produser, kalau kita dapat tahu sebab, mungkin senang sikit. Semua pelakon dan pengarah tidak tahu kenapa, kami hanya tahu filem itu dihentikan tayangan. Kita hanya nak tahu apa punca sebenarnya sebab kami dapat kenyataan, sama seperti kenyataan yang diterima oleh orang awam,” ujarnya.

Sarimah juga mengakui dia tidak serik untuk bekerjasama dengan penerbit yang sama namun tetap berusaha menuntut jawapan.

“InsyaAllah, kita akan dapat juga jawapan. Saya sudah 29 tahun di sini, saya memang seorang yang jujur, jadi saya akan bertanya. Kalau saya diam nampak macam pelik sebab kita dah penat buat promosi dan kita dah aturkan promosi.

“Jadi bila kita tak muncul, peminat akan bertanya mana filemnya? Kita gigih promosi tapi bila nak beli tiket, tiada. Jadi terpaksa bersuara, nak bertanya sebab nanti orang kata kita tipu peminat,” katanya.

Pada masa sama, Sarimah juga tidak meletakkan sasaran filem yang mengangkat kisah anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menjadi filem pecah panggung namun sebagai pelakon ia merasakan karyanya layak dipertontonkan secara meluas.

“Saya memang seorang produser yang baru tapi dalam situasi ini, saya sebagai pelakon sahaja. Jadi saya tak boleh nak letakkan sasaran, tapi sasaran saya adalah filem ini ada tempat di hati penonton.

“Jadi bila penonton nak beli tiket dan tak ada tiket, saya pun rasa kecewa bagi mereka. Sampai kena pergi ke Singapura untuk menonton,” tambahnya.

Susulan pelbagai spekulasi yang timbul berhubung tayangan filem Konspirasi dihentikan tayangan di pawagam Malaysia, pihak penerbitan, Elepfilm Entertainment tampil menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat atas pertimbangan dalaman syarikat dan bukan sebagai strategi publisiti atau pemasaran.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Elepfilm Entertainment di Instagram, semalam, pihak penerbit memaklumkan keputusan bukannya dipengaruhi mana-mana pihak.

Sebelum itu, menerusi kenyataan di Instagram yang sama, Elepfilm Entertainment mengesahkan filem Konspirasi dihentikan tayangan di pawagam di seluruh negara, mulai 28 Mei lalu.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut, tayangan filem Konspirasi di pawagam di Singapura dan negara lain, tidak terjejas.

Terdahulu media melaporkan filem Konspirasi yang mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara sejak 21 Mei lalu, dihentikan tayangan secara serta-merta, sekali gus mencetuskan kejutan dalam kalangan peminat dan penggiat industri.

Anda mungkin berminat dengan

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

Must Watch Video

Advertisement