Sekilas
- Ryzall Noh, penyanyi dari Singapura, melancarkan single terbaru berjudul 'Natijah Cinta' yang mengisahkan tentang realiti hubungan, kehilangan, dan penerimaan perubahan.
- Lagu ini menggabungkan elemen pop rock dengan sentuhan bunyi era 90-an dan moden, serta menampilkan lirik yang dekat dengan jiwa pendengar.
- 'Natijah Cinta' kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital dan diharap membuka peluang baru untuk Ryzall di Malaysia.
Penyanyi kelahiran Singapura, Ryzall Noh tampil dengan single terbaharunya berjudul 'Natijah Cinta', sebuah karya yang menyentuh tentang realiti hubungan, kehilangan dan penerimaan terhadap perubahan dalam kehidupan.
Menurut Ryzall, perkataan "natijah" membawa maksud keputusan atau kesudahan daripada sesuatu peristiwa. Justeru, lagu tersebut lahir daripada kisah hubungan yang pada awalnya dibina dengan penuh harapan, namun akhirnya berubah tanpa disedari.
“Lagu ini bukan sekadar lagu cinta biasa. Ia lebih kepada rasa kecewa, kehilangan dan menerima hakikat bahawa manusia boleh berubah. Kadang-kadang orang yang paling kita kenal akhirnya menjadi orang yang paling asing dalam hidup kita,” katanya.
Sebelum bergerak secara solo, Ryzall pernah mencipta nama sebagai vokalis kumpulan Audionauts yang aktif sekitar tahun 2010 hingga 2017. Sepanjang tempoh itu, mereka berjaya meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik dan Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura.
Mengulas mengenai lagu baharunya itu, Ryzall mengakui terpikat dengan melodi serta lirik yang dianggap dekat dengan jiwa pendengar. Tambahnya, elemen pop rock bersama sentuhan bunyian era 90-an dan moden menjadikan 'Natijah Cinta' memiliki identitinya yang tersendiri.
“Bahagian korus lagu ini sangat mudah melekat di ingatan. Saya juga suka emosi yang dibawa dalam keseluruhan lagu ini. Saya mahu pendengar merasai sesuatu yang jujur dan organik apabila mendengarnya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ryzall mengakui cabaran terbesar adalah mendapatkan emosi dan tona vokal yang tepat ketika proses rakaman. Baginya, sesebuah lagu perlu mempunyai jiwa dan bukan sekadar kedengaran sempurna dari sudut teknikal.
Lagu ciptaan bersama Yazri Malik itu juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang buat dirinya untuk mendekati peminat muzik di Malaysia yang sentiasa memberi sokongan terhadap karya-karyanya sejak dahulu lagi.
'Natijah Cinta' kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.