Sekilas
- Amy Nurtinie pernah dihina kerana bentuk wajahnya yang berpetak dan diberikan gelaran seperti muka talam dan watak kartun.
- Ada individu dalam industri mencadangkan Amy untuk kecilkan rahang, tetapi dia memilih untuk menerima keunikan wajahnya.
- Netizen memberikan sokongan dan bangga dengan keputusan Amy mengekalkan keaslian wajahnya.
Pelakon dan model Amy Nurtinie mendedahkan dirinya pernah dihina hanya kerana memiliki bentuk wajah yang dikatakan sedikit berpetak.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Amy Nur Tinie Abdul Aziz, 29, disebabkan itu juga dia turut diberikan beberapa gelaran termasuk berwajah bentuk talam (dulang) dan watak siri animasi seperti Dora The Explorer dan juga Adudu dalam Boboiboy.
“Dulu saya selalu insecure dengan muka rahang petak saya, dari kecik ada yang cakap saya muka Helmet, muka Talam, muka Dora The Explorer.
“Lepas tu bila dah wujud Cartoon Boboiboy, dorang kata saya Adudu pula,” kongsinya menerusi hantaran di platform Threads.

Tidak cukup dengan itu Amy juga mendedahkan ada segelintir individu dalam industri memberi saranan kepadanya untuk melakukan proses mengecilkan rahang.
Bagaimanapun kata Amy, dia menolak saranan tersebut dan lebih memilih untuk menerima keunikan ciptaan Tuhan yang telah dikurniakan kepadanya.
“Bila saya mula berlakon, ada beberapa individu dalam industri berkata, ‘Tinie, muka awak nampak terlalu lebar dalam frame.
“‘Tinie, sudut wajah awak susah untuk dipaparkan di televisyen. Tinie, awak kena pergi kecilkan rahang.’
“Tak mengapa, sekarang saya dah okay. Saya memilih untuk menerima dan menghargai setiap keistimewaan yang Allah kurniakan kepada saya. Rahang saya inilah yang menjadikan saya unik,” maklumnya.
Dalam pada itu, netizen juga memberikan kata-kata semangat kepada Amy dan bangga kerana pelakon cantik itu memilih untuk mengekalkan keaslian serta keunikan wajahnya.