Sekilas
- Cynthia Erivo jelaskan hubungan akrabnya dengan Ariana Grande adalah persahabatan tulen, bukan sekadar ikatan kerja atau promosi.
- Erivo dan Grande sering berbalas mesej dan berjanji untuk saling menjaga antara satu sama lain.
- Erivo pernah melindungi Grande daripada peminat obses di karpet merah sebagai tanda sokongan sahabat, bukan pengawal peribadi.
Bintang Wicked, Cynthia Erivo melahirkan rasa kurang senang selepas ada dalam kalangan peminat yang tidak percaya dan menyifatkan keakraban yang terjalin antaranya dengan rakan main di filem tersebut, Ariana Grande sebagai sebuah ikatan semula jadi.
Menurut Erivo, hubungan akrab atau baik di antara dirinya dengan Grande sepanjang terlibat dalam filem tersebut tahun lalu bukan dilakukan atas dasar pekerjaan atau promosi, sebaliknya memang satu ikatan persahabatan yang terjalin dengan ikhlas.
“Saya rasa ramai tidak percaya yang kami berdua sebenarnya sahabat. Itu kerana mereka tidak kenal siapa saya. Jika saya seorang sahabat, maka saya adalah sahabat, jika tidak, maka tidak.
“Dan kami sudah berjanji untuk cuba sehabis baik menjaga satu sama lain,” katanya seperti dilaporkan Variety.
Dałam temu bual sama, bintang berusia 32 tahun itu juga mengaku lebih gemar melihat reaksi khalayak terhadap keakrabannya dengan penyanyi tersebut.
“Adalah sangat menarik menyaksikan apa yang orang fikir berbanding realiti sebenar. Ramai pakar membuat keputusan tentang hubungan kami, apa yang kami lalui dan apa yang kami lakukan,” katanya menyindir.
Mengaku berbalas pesanan hampir setiap hari, dia dan Grande juga sehabis baik untuk menjaga satu dengan lain seperti yang dilakukannya sewaktu Grande diserang peminat yang obses dengannya semasa berjalan di karpet merah pada acara promosi filem Wicked di Singapura akhir tahun lalu.
“Sebab itu saya bertindak menghalang penceroboh yang menganggu Grande. Orang kemudian memanggil saya seperti pengawal peribadi dia, tapi sabagai sahabat saya lakukan perkara yang perlu dilakukan,” katanya lagi.