Sekilas
- Seorang lelaki berusia 32 tahun cedera disyaki patah kaki kiri selepas tergelincir semasa mendaki di Air Terjun Jeram Perlus, Hulu Langat.
- Pasukan bomba dari BBP Bandar Tun Hussien Onn dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi dan membawa mangsa turun menggunakan pengusung selepas perjalanan 1-2 jam dari pos kawalan.
- Mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut pada pagi Isnin.
Seorang lelaki terpaksa diusung turun dari atas bukit di Air Terjun Jeram Perlus, Hulu Langat kerana cedera disyaki patah kaki kiri semasa aktiviti pendakian pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn serta BBP Ampang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari.
Menurutnya, anggota operasi yang tiba di lokasi menerima maklumat menyatakan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun cedera di kaki dan tidak boleh berjalan.
"Jarak masa kira-kira satu hingga dua jam perjalanan dari Pos Kawalan Bomba (PKB) untuk sampai ke lokasi mangsa.
"Mangsa dengan berat anggaran 100 hingga 110 kilogram tidak boleh berjalan atau dipapah selepas tergelincir serta terjatuh.
Tambahnya, anggota operasi bertindak mendaki ke air terjun tersebut dan menemui mangsa dalam jarak lapan kilomter dari PKB.
Katanya, keadaan mangsa disyaki patah kaki kiri dan cedera pada kaki kanan.
"Anggota terpaksa membawa mangsa menggunakan pengusung," ujarnya.
Tambahnya lagi, anggota bertindak memakaikan 'lower limp' pada kaki mangsa dan membawanya dengan menggunakan sked straicher ke bawah sebelum diserahkan pada pihak ambulans.
"Mangsa berjaya dibawa turun pada jam 9 pagi, Isnin sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Ampang untuk rawatan lanjut," ulasnya.
Sumber: Sinar Harian